Carian
August 12, 2021

Muhyiddin Berundurlah Secara Terhormat

Penentangan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Perikatan Nasional secara terbuka terhadap Raja-raja Melayu khususnya kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong pada ketika ini adalah dilihat sebagai satu krisis antara pihak kerajaan dan istana yang paling parah semenjak isu Perlembagaan Raja-raja Melayu pada 1993

Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjawat jawatan Perdana Menteri melalui satu episod pengkhianatan tempohari masih berdegil untuk kekal di tampuk pemerintahan walaupun telah jelas beliau kini telah hilang sokongan majoriti di Parlimen. Sikap angkuh, degil dan biadap beliau ini sangat jelas telah bertentangan dan melanggar prinsip perlembagaan.

Umum masyarakat merasa hairan dan mual kerana pembenturan dengan institusi Di Raja ini berlaku dari kerajaan Perikatan Nasional yang tertubuhnya dahulu kononnya adalah dengan semangat “kerajaan dan pimpinan Melayu Islam demi untuk menjaga hak-hak orang Melayu serta kedaulatan Raja-raja Melayu”.

Dikala tindakan yang lebih tuntas dan efektif dituntut dari Kerajaan Perikatan Nasional untuk seluruh jentera kerajaan ditumpukan kepada program melawan Covid-19 serta membela ekonomi rakyat, namun kerajaan hari ini langsung tidak menghiraukan kekhuatiran dan kesengsaraan rakyat ketika ini kerana terlalu asyik berpolitik dan bermesyuarat siang dan malam untuk mengekal kuasa dan pemerintahan.

Justeru, bagi mengakhiri segala kemelut dan kekalutan yang di cetuskan oleh kerajaan Perikatan Nasional ini kami menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selaras dengan prinsip perlembagaan yang dijunjung oleh setiap rakyat negara ini. Negara Malaysia perlu diselamatkan dan sewajarnya semangat perlembagaan dikembalikan dan pena’kulan terhadap makna rukunegara - “Kesetiaan kepada Raja dan Negara” dijajarkan semula dengan segera.

DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya

Related Posts
crossmenuchevron-up