Carian
August 14, 2021

Wanita PH Desak Mahiaddin Letak Jawatan

Wanita Pakatan Harapan mengikuti rapat Perutusan Khas Tan Sri Mahiaddin Yasin seperti yang disiarkan secara langsung oleh kebanyakan platform media pada petang kelmarin.

Kami mengambil maklum tentang apa yang disifatkan beliau sebagai cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PN sekiranya usul undi percaya terhadap beliau sebagai Perdana Menteri diluluskan.

Walau bagaimanapun, kami ingin menegaskan bahawa tujuh perkara dalam cadangan tersebut adalah merupakan gagasan yang terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan dalam PRU14, dan sebahagiannya telah pun dimulakan usaha pelaksanaannya sepanjang pentadbiran PH 22 bulan, sebelum kemudiannya tergendala akibat langkah pengkhianatan yang dipimpin oleh Tan Sri Mahiaddin dan Azmin Ali.

Justeru, adalah suatu yang sangat malang dan memalukan apabila Tan Sri Mahiaddin Yasin yang secara terbuka telah mengakui hilang sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, telah cuba pula "membeli sokongan" ahli-ahli parlimen dengan tawaran seperti ini. Sekaligus menzahirkan betapa Perikatan Nasional sebagai sebuah kerajaan gagal dan masih tidak malu untuk menormalisasikan tindakan rasuah yang ditonton terbuka oleh sekalian rakyat di seluruh negara semata-mata untuk terus kekal mempertahankan jawatan masing-masing.

Keutamaan yang sepatutnya diberikan tumpuan adalah menyelamatkan negara dan rakyat daripada terus menjadi mangsa kepada pentadbiran yang gagal ini, dan segera melaksanakan pelan pemulihan yang lebih wibawa, holistik serta diperlukan oleh rakyat dan negara.

Wanita Pakatan Harapan juga ingin menyatakan pendirian kami dengan memberi sokongan teguh kepada pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan untuk menolak sekerasnya segala tawaran dari Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kami mendesak agar Tan Sri Mahiaddin Yasin berundur segera secara terhormat selari dengan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agar seorang Perdana Menteri yang sudah kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat hendaklah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Tujuh cadangan beliau itu boleh dilaksanakan dengan lebih baik dan holistik oleh kerajaan baharu yang lebih inklusif dan progresif bersama Pakatan Harapan. Tan Sri Mahiaddin Yasin sendiri sebagai salah seorang ahli Dewan Rakyat boleh sama-sama memberi sokongan untuk kita menjayakan ketujuh-tujuh cadangan yang beliau lontarkan, sekaligus menjayakan manifesto PH.

Related Posts
crossmenuchevron-up