Pelbagai media berita telah melaporkan bahawa Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) akan menyerahkan surat perletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada Isnin 16 Ogos 2021. Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menyambut baik berita ini memandangkan telah terang lagi bersuluh Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mempunyai majoriti sokongan Ahli-ahli Parlimen.
Khabar yang tidak enak bertiup dengan pantas di portal-portal media bahawa ada usaha dari pihak tertentu untuk mencalonkan nama-nama dari anggota kabinet TSMY sebagai calon untuk kerusi Perdana Menteri. KEADILAN berpandangan bahawa adalah satu perkara yang akan membinasakan dan menyedihkan seluruh rakyat Malaysia sekiranya anggota-anggota dari kabinet kerajaan yang nyata telah gagal dan tidak berfungsi ini diberikan peluang sekali lagi untuk menerajui negara sekaligus menyambung kehancuran dan porak-peranda didalam negara sekarang.
Anggota-anggota dari kabinet TSMY ini bukan sahaja telah terbukti gagal dalam menguruskan dan menangani pandemik yang melanda negara bahkan gagal membawa negara dan rakyat keluar dari kemelut ekonomi yang menghimpit lagi kritikal ini. Lebih buruk dan teruk lagi anggota-anggota kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri yang baharu dilantik ini telah jelas bersekongkol dan memilih untuk mempertahankan Tan Sri Muhyiddin tatkala kerajaan memilih untuk berbentur lalu menderhaka kepada DYMM Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
Justeru itu, KEADILAN menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya usaha-usaha licik pihak yang bobrok ini untuk terus tidak segan silu berhempas pulas mempertahankan dan berpaut kepada jawatan dan kuasa mereka.
KEADILAN sangat faham dan mengerti dengan situasi kritikal yang melanda rakyat dan negara serta ingin memberi ingatan bahawa rakyat kini sangat terdesak untuk mengimpikan serta melihat satu kerajaan dan pimpinan baharu bagi memulihkan keyakinan mereka bahawa Malaysia mampu keluar dari wabak pandemik serta kemelut ekonomi yang tidak berkesudahan ini.
DATUK SERI SHAMSUL ISKANDAR MOHD AKIN
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya