Carian
August 15, 2021

Ismail Sabri Bukan Calon Tepat,Hanya Akan Meneruskan Kegagalan PN

Saya meneliti beberapa perbincangan di media sosial dan di kalangan para wartawan yang memberi andaian DS Ismail Sabri, Ahli Parlimen Bera bakal menjadi calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional, sekiranya TS Mahiaddin Md Yassin meletakkan jawatan esok.

Saya berpandangan ini adalah satu langkah salah yang tidak patut disokong Ahli-Ahli Parlimen, sama ada di pihak Pembangkang mahupun dari kalangan parti-parti Kerajaan.
DS Ismail Sabri sebagai seorang anak Pahang langsung tidak kelihatan mempertahan institusi Raja Berperlembagaan tatkala kenyataan Istana Negara 29 Julai lalu merakamkan rasa amat dukacita KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas tindak-tanduk ahli Jemaah Menteri yang ingkar titah perkenan Seri Paduka Baginda untuk membahas dan memutuskan Ordinan-Ordinan Darurat di Parlimen.

Memandangkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen, maka DS Ismail Sabri turut terlibat dalam keputusan Jemaah Menteri untuk tidak melaksana titah perkenan Seri Paduka Baginda tersebut.

Adakah ini tingkah laku seorang pemimpin yang patut diikuti, terutama oleh Ahli-Ahli Parlimen yang amat kuat mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan?

Bukan setakat itu, sebagai anggota kanan Jemaah Menteri, DS Ismail juga turut bersama bertanggungjawab di atas segala langkah dan dasar yang telah gagal dan secara langsung menjerumuskan negara kita ke dalam kancah dan kemelut yang kita saksikan hari ini. Ini termasuklah ‘total lockdown’ separuh masak, SOP yang dikuatkuasa secara ‘Antara Dua Darjat’, dan kelewatan pemberian vaksin sehingga kita saksikan natijahnya setiap hari dengan jumlah kematian yang begitu tinggi.

Oleh itu, mereka yang menyokong seorang Ahli Parlimen seperti DS Ismail Sabri hanya menyokong diteruskan kegagalan Perikatan Nasional.

Malaysia perlukan tenaga baharu, konfigurasi kepimpinan baharu, malah mungkin juga sebuah jajaran baharu untuk memastikan kita mampu menyelesaikan masalah-masalah pandemik dan kebajikan rakyat secara menyeluruh dan bersama.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Related Posts
crossmenuchevron-up