Kami menjunjung kasih ke atas titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9 pada 21 Ogos 2021.
Kami hormati bahawa pelantikan telah dibuat menurut lunas-lunas perlembagaan dan amalan Demokrasi Berparlimen Raja Berperlembagaan serta mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.
Maka dengan ini, dalam mesyuarat khas Pimpinan Keadilan Negeri Kelantan pada 23 Ogos 2021. Kami telah memutuskan dan mengambil ketetapan antaranya , akan terus kekal menyokong kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN dan Pengerusi Pakatan Harapan yang sentiasa cekal dalam perjuangan walaupun diduga dengan pelbagai ujian selama ini.
Keteguhan pegangan prinsip, kejituan penegakan agenda reformasi dan kenegarawanan beliau jelas terserlah dalam krisis yang dihadapi negara sekarang.
Kami yakin ciri-ciri ini penting dalam memacu negara keluar daripada krisis Covid, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Kami akan teruskan agenda reformasi pembelaan rakyat dan institusi negara tanpa bertolak ansur tentang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Kami mendoakan moga kesihatan rakyat terus terjaga tanpa diabaikan dengan kekusutan politik dan negara dapat bangkit daripada krisis kesihatan serta ekonomi dengan pemerintahan yang betul.
Dengan berlakunya perubahan pucuk pimpinan negara, kami berharap agar Kerajaan Persekutuan melipatgandakan usaha untuk terus membangunkan Negeri Kelantan terutamanya dari segi kemudahan awam yang selama ini agak ketinggalan berbanding dengan negeri negeri.Masalah air misalnya, sehingga kini masih tidak dapat diselesaikan.
Selain itu, masalah peluang pekerjaan juga harus diutamakan dengan kadar yang amat segera memandangkan ramai yang terkesan kerana pandemik Covid19.
Penekanan bukan sahaja berarah kepada pembangunan dari segi infra, malah pembangunan dari segi akhlak serta rohaniah juga perlu seiring.
Oleh itu, pihak kami akan terus memantau peranan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam hal tersebut dan akan menjadi sebahagian daripada kumpulan pendesak kepada kerajaan seandainya mereka membelakangkan hak dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, kami menyeru saf kepimpinan, anggota parti dan akar umbi untuk terus memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada kepimpinan Presiden dan prinsip yang diperjuangkan agar agenda reformasi negara dapat di realisasikan.
Kami menggesa pemimpin dan anggota parti untuk terus mengukuhkan parti dan memantap penyusunan serta gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk mengembalikan mandat rakyat yang telah dimenangi dalam PRU-14.
Mohamad Suparadi Md Noor
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Kelantan
Naziratul Aini Muhamad Sayuty
Ketua Wanita
Parti Keadilan Rakyat Negeri Kelantan
Muhd Hafiz Muhd Kasasi
Ketua AMK Parti Keadilan Rakyat Negeri Kelantan