Saya berasa kesal dengan pengumuman Menteri Luar Negeri Dato Saiffudin Abdullah ke atas perlantikan Penasihat Khas dalam hal ehwal Asia Timur dan hal kebajikan antarabangsa.
Kerajaan telah pun melantik Duta Khas bertaraf menteri sebanyak 4 orang, kenapa masih perlu melantik 2 penasihat khas lagi. Kerajaan Barisan Nasional (BN)/ Perikatan Nasional (PN) telah melantik Duta khas ke China Datuk Seri Tiong King Sing, Duta Khas Timur Tengah Dato Seri Hadi Awang, Duta Khas Asia Selatan SA Vigneswaran dan juga Duta Khas Asia Timur Dato Seri Richard Riot. Kos Duta-duta khas ini mencecah juta ringgit setiap tahun.
Bayangkan pembayaran elaun dan gaji bagi pegawai serta Setiausaha untuk Duta khas telah mencecah RM 145,653 setiap bulan, iaitu sebanyak RM 1.70 juta setiap tahun, ia masih tidak termasuk elaun dan gaji duta-duta khas. Menteri sepatutnya bekerjasama dengan duta khas tersebut, apakah rasional kerajaan memilih untuk melantik penasihat yang baru?
Saya berpendapat bahawa tindakan tersebut sengaja melangkaui proses pelantikan pegawai tadbir diplomatik dengan melantik orang luar adalah tidak memenuhi tatacara kementerian.
Kementerian Luar Negeri telah mempunyai sistem latihan yang sempurna, malah ada pegawai tadbir diplomatik yang professional untuk memberi cadangan. Tindakan Saifuddin Abdullah melantik orang sendiri sebagai ganjaran dilihat sebagai satu penghinaan terhadap pegawai tadbir diplomatik yang profesional.
Mahupun perlantikan tersebut tidak akan menggunakan satu sen kerajaan, ia tetap akan dilihat dengan menggunakan jawatan kementerian luar negeri sebagai modal politik peribadi dan tidak mencerminkan tatacara & protokol yang profesional.
YB Lee Chean Chung
Bendahari Agung KEADILAN
ADUN Semambu