Pagi ini satu laporan polis telah difailkan oleh saya di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam terhadap Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang telah menghina dan memperlekehkan DYMM Sultan Selangor dalam satu ucapan beliau di acara ceramah anjuran Perikatan Nasional, baru-baru ini.
Ucapan Muhammad Sanusi tersebut telah dimuatnaik di banyak saluran media sosial seperti YouTube, TikTok, Facebook serta Twitter dan secara jelas memperlekehkan wewenang serta pertimbangan DYMM Sultan Selangor dalam urusan pelantikan Menteri Besar Selangor.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, enam negeri termasuk Selangor bakal mengadakan pilihan raya pada 12 Ogos akan datang dan ketika ini pelbagai parti-parti politik giat mengadakan program ceramah dan kempen penerangan. Namun demikian, pentas ceramah politik tidak seharusnya menjadi saluran untuk menghambur serangan, penghinaan dan pelecehan terhadap institusi diraja termasuklah wewenang sultan.
Ucapan Muhammad Sanusi ini secara terang bersifat menghina DYMM Sultan Selangor dan tidak dapat diterima oleh rakyat Selangor yang kasih dan menghormati institusi diraja di negeri ini.
Justeru, KEADILAN Shah Alam menggesa pihak berkuasa untuk segera menyiasat serta mengambil tindakan tegas terhadap Muhammad Sanusi yang saban hari menjadikan pentas ceramah politik Perikatan Nasional untuk menghambur penghinaan terhadap pimpinan negara serta menyemai perpecahan di kalangan rakyat menerusi kenyataan-kenyataan beliau yang bersifat perkauman dan menunggang ajaran Islam.
KEADILAN Shah Alam juga mendukung pendirian tegas Kerajaan Perpaduan dalam menangani kelompok-kelompok bejat yang menggunakan isu-isu 3R membabitkan institusi diraja, kaum dan agama untuk mencapai tujuan politik sempit mereka.
Justeru, kami berharap pendirian tegas Kerajaan Perpaduan ini dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan penguatkuasaan undang-undang yang tuntas dan bukan sekadar menanam tebu di tepi bibir. Negara ini tidak boleh dibiarkan musnah dek kerana politik perpecahan yang cuba dianjurkan oleh pemimpin Perikatan Nasional.
SURYAMUIZZUDIN KAMARUDIN
Ketua Penerangan
KEADILAN Shah Alam