1. Wanita KEADILAN menyambut baik Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) 2728 (2024) yang telah disepakati pada semalam, 25 Mac 2024. Resolusi ini menuntut gencatan senjata serta merta, pembebasan tebusan tanpa syarat dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
2. Penerimaan resolusi ini menyaksikan sikap dan pendirian majoriti masyarakat dunia yang menginginkan keadilan ditegakkan dan kezaliman dihentikan terhadap penduduk Gaza dan Palestin.
3. Resolusi ini diusulkan secara bersama oleh 10 negara anggota tidak tetap Majlis Keselamatan PBB iaitu Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland.
4. Setelah tiga kali usul gencatan senjata yang diveto oleh Amerika Syarikat sebelum ini, akhirnya setelah hampir enam bulan pembantaian terhadap warga Gaza yang meragut korban lebih 32,000 jiwa, maka gencatan senjata kali ini berjaya mencapai kesepakatan dan mesti segera dilaksanakan.
5. Akses dan bantuan kemanusiaan merangkumi bantuan makanan dan air bersih, serta kelengkapan peralatan dan keperluan perubatan perlu segera disampaikan kepada jutaan warga Gaza yang memerlukan.
6. Dalam masa yang sama, keselamatan warga Gaza adalah menjadi kewajipan PBB selepas resolusi ini diterima, justeru penghantaran tentera pengaman wajar untuk dipertimbangkan. Warga global tidak lagi sanggup melihat pertumpahan darah berlaku di depan mata setiap hari.
7. Selain itu, tindakan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis yang secara jelas mencabul undang-undang antarabangsa dan prinsip asas kemanusiaan mestilah menerima hukuman setimpal. Para pimpinan rejim harus diheret ke muka pengadilan.
8. Wanita KEADILAN juga merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya tampuk pimpinan nusa yang diteraju oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menyuarakan pendirian konsisten dan tanpa dalam menegaskan sikap berhubung isu Palestin di pentas antarabangsa.
9. Nyala rasa perjuangan kita untuk sama-sama memerdekakan Palestin tidak akan pernah luntur. Wanita KEADILAN menyeru seluruh warga Malaysia dan komuniti global untuk terus bersolidariti untuk Palestin dan tidak putus berdoa.
10. Kemerdekaan untuk Palestin semakin menghampiri! Palestin Merdeka!
YB FADHLINA SIDEK
Ketua Wanita KEADILAN