Carian
April 4, 2024

Mempergunakan Isu KK Mart Secara Berterusan Tidak Akan Memberikan Keuntungan Kepada Sesiapa

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh secara berterusan memainkan isu stoking tertera kalimah Allah sebagai modal politik.

Sikap agresif Akmal terhadap isu ini telah mengundang sikap ekstrem sesetengah individu - termasuklah insiden bom petrol di baling ke beberapa kedai KK Mart.

Ya, tindakan KK Mart telah mengguris hati umat Islam.

KK Mart telah melakukan permohonan maaf secara rasmi dan menjelaskan apa yang berlaku. Dalam masa yang sama, Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai Kee Kan, dan isterinya Loh Siew Mui, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah kepada semua pihak perlu berhenti mengambil kesempatan ke atas isu stoking tertera kalimah Allah kerana perkara itu sudah dalam proses perundangan.

Sepatutnya Akmal menghayati titah Yang di-Pertuan Agong dan berhenti menggunakan isu ini sebagai modal politik.

Mempergunakan isu ini secara berterusan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa.

Dalam masa yang sama, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Dr Chai Kee Kan di Istana Negara untuk mendengar penjelasan berkaitan isu ini.

Pimpinan UMNO juga telah meminta Akmal berhenti daripada mengeluarkan kenyataan berhubung isu stoking kalimah Allah.

Nasihat saya kepada Akmal selaku mantan Ketua Pemuda Parti, keinginan memperkenalkan diri ke medan politik dengan isu seperti ini tidak akan bertahan lama. Carilah isu yang benar-benar kritikal dan menguntungkan rakyat.

Islam agama yang menjunjung keadilan, namun turut menekankan sikap rahmah. Menggunakan sentimen agama untuk membakar nafsu amarah, menimbulkan rasa tidak senang di kalangan rakyat ketika beberapa insiden keganasan sudah berlaku - adalah tindakan yang tidak menguntungkan sesiapa.

Sebagai pemimpin kita tidak boleh berterusan menghasut rakyat, tetapi apabila berlaku insiden tidak diingini kita cuba pula cuci tangan tanpa rasa tawadduk dan kesediaan bermuhasabah.

Nik Nazmi

Naib Presiden KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up