Carian
April 15, 2024

Kenyataan Media Isu Iran-Israel

Hari ini saya telah mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu selain pegawai tertinggi Kerajaan bagi membincangkan situasi terkini di rantau Timur Tengah.

Serangan yang dilancarkan Republik Islam Iran adalah tindak balas yang berpunca dari serangan biadab Zionis Israel ke atas kedutaan Iran di Damsyik, Syria baru-baru ini. Ini tentunya adalah pelanggaran yang nyata terhadap hukum dan undang-undang antarabangsa.

Kerajaan kini sedang memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia dan Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara. Kerajaan juga mengambilkira sebarang faktor yang mungkin memberi kesan kepada rakyat Malaysia.

Malaysia berpendirian bahawa semua pihak harus memainkan peranan untuk memastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan dan keamanan sejagat, dan semua pihak mesti berusaha untuk mencapai penyelesaian dengan menamatkan pertelingkahan di rantau tersebut. Sebarang jalur penyelesaian yang dipilih tidak akan berkekalan sekiranya keganasan yang sedang berlaku ketika ini tidak ditamatkan dalam kadar segera.

Walaubagaimanapun, Malaysia kekal teguh dengan pendiriannya untuk bersama dengan warga Palestin yang terus menanggung derita dari kemelut ini. Sekarang adalah ketikanya untuk semua pihak memainkan peranan dalam mendesak untuk menamatkan ketegangan.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up