September 17, 2025

Doa Untuk Sabah

KEADILAN Sabah amat berdukacita atas kehilangan nyawa dan kerosakan  akibat bencana banjir dan kejadian tanah runtuh di beberapa daerah di Sabah. Salam takziah kepada ahli keluarga yang terkesan dan didoakan agar diberi ketabahan dan kekuatan menghadapi dugaan ini.

KEADILAN Sabah juga ingin merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua petugas barisan hadapan NADMA, Jabatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, pasukan Bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan-bahagian berkaitan, petugas Kesihatan dan sukarelawan komuniti yang bertungkus-lumus melakukan operasi menyelamat, pemindahan dan bantuan kecemasan di lapangan.

Tindakan pantas YAB Perdana Menteri mengumumkan peruntukan segera tambahan sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk membantu mangsa di Sabah adalah sangat dialu-alukan.

Jumlah ini adalah tambahan kepada kira-kira RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan Negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas dan bantuan mangsa banjir. KEADILAN Sabah menyeru agar agihan bantuan ini dapat dilakukan secara telus, pantas dan berpandukan keperluan di lapangan.

Sejak bermulanya banjir di beberapa daerah, MPN KEADILAN Sabah  telah pun mengarahkan setiap cabang parti di seluruh Sabah untuk segera menghulurkan bantuan mengikut kemampuan masing-masing. Cabang juga dinasihatkan untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan agar bantuan yang disalurkan adalah mengikut keperluan mendesak mangsa yang terkesan.

KEADILAN Sabah menyeru agar seluruh rakyat Sabah untuk terus bersatu padu dan melupakan perbezaan politik dalam menghadapi waktu yang sukar ini. Kemanusiaan dan empati adalah agenda utama agar Sabah dan seluruh rakyatnya segera pulih kembali.

MPN Sabah

Related Posts
crossmenuchevron-up