October 2, 2025

KEADILAN Permatang Pauh Mengecam Tindakan Israel Menahan Sukarelawan Global Sumud Flotilla

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Permatang Pauh dengan tegas mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel yang telah menahan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang terdiri daripada masyarakat sivil dan aktivis keamanan antarabangsa, termasuk dari Malaysia.

Penahanan kejam ini adalah bukti jelas bahawa Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa, menafikan hak asasi manusia, serta menindas usaha masyarakat dunia yang hadir dengan niat murni membawa bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita akibat penindasan berdekad lamanya.

Seluruh rakyat Malaysia menuntut pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan, serta mendesak komuniti antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan tegas terhadap keangkuhan Israel.

Kami menegaskan bahawa perjuangan membela Palestin adalah perjuangan kemanusiaan sejagat dan KEADILAN Permatang Pauh tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang berterusan ini.

“Demi Keadilan, Demi Kemanusiaan”

Related Posts
crossmenuchevron-up