August 27, 2026

ISU PREMIS JUDI: CACI MAKI MB KEDAH ADALAH PENGHINAAN TERHADAP KEPUTUSAN MAHKAMAH DAN PERLEMBAGAAN

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia ingin menegaskan bahawa umat Islam sememangnya tidak menyokong amalan perjudian. Perjudian merupakan perbuatan yang jelas dilarang dalam Islam dan bukanlah suatu amalan yang digalakkan atau wajar dipromosikan dalam masyarakat.

Justeru, pendirian menolak perjudian dan usaha membendung kemudaratan akibat amalan tersebut adalah sesuatu yang sememangnya difahami serta dihormati.

Namun, AMK amat kesal dengan laras bahasa kesat seperti “celaka” dan “pelaq” yang digunakan oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu premis perjudian.

Tindakan dan caci maki tersebut hakikatnya bukan sekadar serangan ke atas YAB Perdana Menteri, tetapi ia jelas merupakan satu penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan kemuliaan Perlembagaan Persekutuan.

Isu ini bukan soal sama ada Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan "mahu" atau "tidak" meluluskan perjudian, sebaliknya ia adalah soal pematuhan kepada undang-undang.

Mahkamah Persekutuan telah pun memuktamadkan keputusan yang jelas berhubung sempadan bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Justeru, isu perundangan ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik murahan untuk menunggang sentimen dan emosi rakyat di pentas ceramah.

Jika Kerajaan Negeri benar-benar ikhlas mahu menyelesaikan hal ini, maka Menteri Besar Kedah wajar bertindak secara profesional seperti:

1.⁠ ⁠Menyemak Melalui Saluran Perundangan:

Meminta agar Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah untuk menyemak semula perihal sempadan bidang kuasa dan perundangan secara teratur berlandaskan lunas undang-undang yang sah.

2.⁠ ⁠Menunjukkan Tauladan Kepimpinan Islam:

Menolak budaya politik maki hamun di hadapan khalayak yang mencemarkan imej agama dan sebaliknya mempamerkan akhlak perdebatan yang tinggi.

Mengkritik dan menjadi semak dan imbang adalah tugas pembangkang, namun ia wajib dilakukan berlandaskan fakta, dasar dan kewarasan akal, bukannya melalui caci maki yang menghina keputusan institusi mahkamah tertinggi dan Perlembagaan negara.

YB Dr Mohammed Taufiq Bin Johari
Naib Ketua AMK Malaysia
Ahli Parlimen Sungai Petani

Related Posts
crossmenuchevron-up