Carian
April 12, 2023

MB KEDAH PERLU LEBIH CERMAT DALAM MENGELUARKAN KENYATAAN

1. Saya amati kenyataan-kenyataan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Sanusi sejak kebelakangan ini, dan saya mendapati bahawa YAB MB tidak cermat dalam mengeluarkan kenyataan beliau. Terdapat unsur-unsur penipuan dan politik tidak matang dalam ucapan beliau, seolahnya gopoh ingin berkata tanpa berfikir.

2. Saya merujuk kepada kenyaatan beliau pada Majlis Iftar Anak Kedah yang diadakan di Selangor baru-baru ini di mana beliau mendakwa ada usaha menyingkirkan beliau dari Majlis Kewangan Negara, dan akan digantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri. Sedangkan kita sedia maklum di bawah Perkara 108 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa “Majlis Kewangan Negara yang terdiri daripada Perdana Menteri, mana-mana Menteri lain yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, dan seorang wakil dari setiap Negeri yang dilantik oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri.”

3. Kenyataan Dato’ Seri Sanusi bukan sahaja akan mengeruhkan hubungan antara Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Pusat – walaupun acapkali berlaku sebegitu akibat dari kenyataan beliau yang lain – namun ia juga menunjukkan bahawa beliau mempersoal kebijaksaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Kedah dengan menyatakan seolah-olah Sultan Kedah mudah dipengaruhi. Tambahan pula, beliau sendiri mengaku bahawa beliau tidak mempunyai bukti kerana perkara ini belum terjadi. Pada saya, ini sebenarnya hanyalah spekulasi beliau semata-mata. Tidak lain, hanyalah ketakutan beliau terhadap bayangannya sendiri.

4. Dato Seri Sanusi perlu bersikap seperti seorang Menteri Besar. Beliau sewajarnya tidak mengeluarkan kenyataan yang bersifat spekulasi tanpa asas dan bukti yang kukuh. Kenyataan beliau hanya menimbulkan syak wasangka antara pemimpin dan seolah-olah tidak mempercayai sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Kedah. Kebijaksanaan Tuanku Sultan Kedah tidak wajar dipertikai, dan belum ada sebarang kenyataan dibuat.

5. Saya sebagai pemimpin muda bercita-cita untuk melihat kematangan politik daripada pemimpin yang lebih senior. Beliau seharusnya lebih fokus untuk memikirkan tentang kesejahteraan rakyat. Jaga hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Beliau kini mewakili Negeri Kedah, bukan mewakili parti politik. Meskipun tidak sealiran dalam membawa ideologi politik, namun beliau perlu sedar bahawa fokus gerak kerja kepada rakyat perlu diberikan keutamaan dan perlu ada usaha ke arah mencara titik persefahaman, bukan terus mengeruhkan keadaan. Kenyataan-kenyataan seperti ini langsung tidak membantu dalam membangun Negeri Kedah.

Dr. Mohammed Taufiq Bin Johari

 Ahli Parlimen Sungai Petani 

 Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah

Related Posts
crossmenuchevron-up