APAKAH RM295 BILION PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI DAN PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA SAH DIBELANJAKAN OLEH KERAJAAN MUHYIDDIN YASSIN YANG KEABSAHANNYA DIPERSOALKAN?
Persoalan di atas penting dijawab.
Pada 27 Mac 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM250 bilion di mana RM25 bilion diperuntukkan sebagai bantuan one-off untuk meringankan beban kewangan rakyat golongan berpendapatan rendah.
Pada 6 April 2020, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membentangkan kali kedua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM10 bilion sebagai subsidi gaji bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mengekalkan para pekerja mereka.
Kemudian, yang terbaru ialah pada 5 Jun 2020, buat kali ketiga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) berjumlah RM35 bilion.
Semua usaha Pakej Rangsangan Ekonomi dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara ini yang kesemuanya menelan belanja sebanyak RM295 bilion adalah usaha yang baik untuk negara dan rakyat. Hakikat ini tidak dinafikan. Tujuannya baik.
Tetapi tujuan yang baik mestilah melalui cara yang baik.Malaysia sebuah negara yang bergerak atas lunas kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.Tujuan yang baik sekalipun tidak dianggap sah sekiranya cara digunakan adalah salah. Ringkasnya, tujuan tidak menghalalkan cara.
Ini kembali kepada persoalan awal-awal tadi. Apakah Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin Yassin sebuah kerajaan yang sah yang boleh membelanjakan sejumlah wang negara berjumlah RM295 bilion tanpa diluluskan oleh Parlimen?
Ada hujah yang menyatakan Perdana Menteri Mahyuddin Yassin adalah Perdana Menteri yang sah kerana pada 1 Mac 2020 beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.
Hujah tersebut benar hanya setakat isu perlantikan Perdana Menteri oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a). Tetapi sama ada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin benar-benar mempunyai jumlah sokongan majoriti yang mencukupi di Dewan Rakyat perlu dibuktikan secara sahih di dalam prosiding Dewan Rakyat.Bukan berdasarkan akuan bersumpah (SD) yang dibawa ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong.Bukan juga melalui kiraan susunan kerusi di Blok Kerajaan.Yang sah dikira ialah jumlah undi ahli Dewan Rakyat yang hadir dalam sidang Parlimen di Dewan Rakyat tersebut.
Sistem demokrasi di Malaysia mengamalkan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) adalah kuasa Institusi Raja yang diterima pakai oleh Perlembagaan Persekutuan.Manakala undi percaya di Dewan Rakyat terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Mahyuddin Yassin adalah kuasa Parlimen dalam menentusahkan kepercayaan terhadap seseorang Perdana Menteri.
Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Ketiga ketika menggantikan Allahyarham Tun Abdul Razak yang telah meninggal dunia telah melalui proses ujian Kepercayaan terhadapnya di Dewan Rakyat.Waktu itu majoriti Kerajaan Barisan Nasional amat besar, lebih majoriti dua pertiga di Parlimen.Prosiding Undi Percaya terhadap Perdana Menteri Tun Hussein Onn tetap diadakan. Sudah terang lebih bersuluh. Tetapi sekarang majoriti yang ada pada Perdana Menteri Mahyuddin Yassin jadi tanda tanya.
Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin Yassin sepatutnya pada 18 Mei 2020 yang lalu membawa Usul Percaya terhadap Perdana Menteri Mahyuddin Yassin.Usul Percaya tersebut adalah usul dari kerajaan PN.
Usul Undi Tidak Percaya oleh Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh ditangguhkan kemudian. Usul Percaya dari kerajaan PN adalah urusan kerajaan dan perlu diutamakan.Jika Usul Percaya itu lulus dengan sendirinya Usul Tidak Percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi terbatal dengan sendirinya.
Peluang untuk Perdana Menteri Mahyuddin Yassin membuktikan beliau ada sokongan majoriti telah terlepas.Pada 18 Mei 2020 yang lalu, adalah masa yang seawal mungkin untuk Mahyuddin Yassin menyelesaikan isu keabsahannya sebagai Perdana Menteri.Tetapi peluang itu telah terlepas.
Jadi soal sah atau tidak kerajaan PN pimpinan Mahyuddin Yassin berleret-leret sampai sekarang.Bolehkah tanpa ada semakan,perbahasan dan kelulusan di Parlimen, Kerajaan PN pimpinan Mahyuddin Yassin yang keabsahannya dipersoalkan membelanjakan wang negara sebanyak RM295 bilion begitu sahaja?
Jawapan saya sebagai seorang ahli parlimen ialah Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin tidak boleh berbuat demikian.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang
Sabtu 6 Jun 2020