Carian
March 30, 2021

AMK Pahang Membantu Dalam Rayuan Denda Kompaun Pelanggaran SOP Covid-19 Yang Tidak Adil

Pada 19.3.2021, empat orang belia yang sedang menjamu selera di sebuah medan selera di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang Darul Makmur telah dikenakan denda
kompaun sejumlah RM 10,000.00 setiap seorang kerana kononnya tidak mengimbas aplikasi MySejahtera di gerai makanan pilihan mereka. Penjaja di gerai tersebut juga
dikenakan denda kompaun yang sama.

Pendirian kelima-lima individu berkenaan adalah konsisten: Empat orang belia tersebut telahpun mengimbas aplikasi MySejahtera di gerai berkenaan sebelum dikenakan
kompaun oleh pihak berkuasa. Pegawai penguatkuasa di tempat kejadian hanya merekodkan waktu kompaun-kompaun tersebut dikeluarkan secara bertulis di balai polis, sekitar 1 jam setengah selepas kejadian tersebut berlaku. Maka, ianya jelas bahawa waktu yang direkodkan cumalah suatu anggaran sahaja.

Kelima-lima pengadu tersebut telah membawa kes ini ke perhatian YB Lee Chean Chung(ADUN N13 Semambu). Saya, bersama pegawai-pegawai Pusat Khidmat beliau, telah
bertungkus-lumus menyiapkan surat rayuan, beserta dokumen-dokumen sokongan, bagi tujuan rayuan dalam kes ini.

Pada 26.3.2021, saya telah mengiringi YB Lee dan pegawai-pegawai khas beliau ke Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan untuk mengemukakan rayuan dalam kes ini. Setelah
berunding dengan pegawai-pegawai di Pejabat Kesihatan (yang telah melayan kami secara cukup profesional), tawaran pengurangan denda kompaun kepada RM 750.00 setiap
seorang dibuat, dengan kemungkinan pengurangan lebih banyak bagi pelajar/OKU/golongan B40.

Penjaja gerai dalam kes ini bersetuju menerima tawaran tersebut, meskipun tetap tidak mengaku bersalah, kerana terpaksa kembali menjalankan perniagaan beliau & tidak
mampu meluangkan masa yang banyak untuk meneruskan proses rayuan ini.

Namun, empat orang belia dalam kes ini bertegas bahawa mereka tidak akan membayar denda kompaun “walau sepuluh ringgit pun” atas dasar prinsip, kerana mereka
berpendirian bahawa mereka tidak bersalah sama sekali dalam kes ini.

Mereka kekal menuntut supaya kompaun-kompaun yang tidak adil ini dimansuhkan/dibatalkan.

Proses rayuan mereka akan terus berjalan, dan AMK Pahang akan kekal bersama mereka dalam setiap langkah perjuangan ini.

ADRIAN KUMAR VENDARGON
Pengerusi
Biro Guaman dan Undang-Undang
Angkatan Muda Keadilan Negeri Pahang

Related Posts
crossmenuchevron-up