Carian
March 10, 2021

Adakah Pelantikan Pengerusi PR1MA Sebahagian Daripada Scheme Of Things?

Scheme of Things yang menjadi amalan Kerajaan Perikatan Nasional dengan menawarkan jawatan kepada ahli-ahli parlimen dilihat terus aktif dengan lantikan YB Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim, Ahli Parlimen Arau sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan ini langsung tidak mengejutkan dan bukanlah baru kerana semakan di laman sesawang PR1MA mendapati nama beliau telah dikemaskini sebagai pengerusi PR1MA sejak bulan lepas lagi.

Sudah pasti timbul pertanyaan di atas kapasiti apa beliau dilantik tatkala begitu ramai profesional yang berbakat, berpengalaman luas dan diyakini mampu mengeluarkan PR1MA daripada belenggu permasalahan yang begitu merunsingkan.

Selepas hampir 3 tahun YB Zuraida Kamaruddin dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, isu PR1MA dilihat masih tiada kesudahan bahkan beberapa persoalan lain pula muncul dan memerlukan penjelasan terkait dengan keputusan yang telah beliau lakukan.

Sebagai contoh, terdapat beberapa kekeliruan jika dilihat kepada jawapan menteri di parlimen. Pada 17 Oktober 2019, menteri menyatakan bahawa 56 fasa projek pembangunan bernilai RM9.98 bilion di bawah PR1MA telah dibatalkan. Namun pada 7 Disember 2020, menteri yang sama pula menyebutkan jumlah projeka PR1MA yang telah dibatalkan adalah 32 projek.

Hingga kini, sejumlah RM 172 juta wang telah dibelanjakan bagi membayar pampasan berikutan pembatalan projek PR1MA di beberapa kawasan. Terdapat juga beberapa projek terbengkalai atau lewat yang masih tidak diketahui statusnya seperti di Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan beberapa tempat lagi.

Di Johor sendiri, terdapat kes di Rumah PR1MA (Residensi) Tebrau yang sepatutnya diadakan penyerahan kunci pada 2018 lagi tetapi hingga kini tiada kesudahan walaupun tarikh siap projek telah beberapa kali dipinda (rakaman video laporan PR1MA Tebrau: https://youtu.be/c8DKM0oLFuw)

Sehubungan itu, saya menggesa YB Menteri dapat segera mendedahkan senarai setiap pemaju serta kos pampasan yang perlu dibayar kepada mereka bagi 32 projek yang telah dibatalkan, senarai projek yang dipinda tarikh siap, senarai projek lewat dan terbengkalai.

Saya juga mendesak agar rakyat yang terpaksa menanggung kerugian akibat kelewatan rumah PR1MA perlu diberikan bayaran penuh Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD), bukan hanya pemaju yang dijaga.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up