Carian
March 12, 2021

Hentikan Sebarang Usaha Untuk Gagalkan UNDI18

Kenyataan sinis YB Senator Tan Sri Rais Yatim, Yang Dipertua Dewan Negara merangkap Ketua Bahagian PPBM Jelebu berhubung pelaksanaan undi 18 yang kononnya sukar dilaksanakan dilihat begitu dangkal dan membelakangkan suara rakyat dan Ahli-Ahli Parlimen yang telah membuat keputusan.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had kelayakan mengundi kepada 18 tahun telah diluluskan Parlimen pada Julai 2019 dengan sokongan majoriti 2/3 sepatutnya tidak lagi menjadi pertikaian, bahkan perlu disambut baik semua pihak bagi merealisasikannya.

Beliau sebelum ini turut pernah mengemukakan alasan bahawa usul undi 18 tergesa-gesa untuk diluluskan. Ini amat tidak masuk akal kerana agenda undi 18 bukanlah perkara baru dan merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan semasa PRU-14 bagi mengiktiraf suara dan partisipasi orang muda dalam menentukan hala tuju negara.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) telah memberikan komitmen bahawa pelaksanaan undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini, namun Tan Sri Rais Yatim berterusan memainkan isu yang sama.

Ini menimbulkan kebimbangan adakah kerana Perikatan Nasional terlalu bimbang akan suara orang muda yang menolak mereka, maka terdapat gerakan tersusun bagi menggagalkan usaha ini dengan melantik Tan Sri Rais Yatim sebagai jurubicaranya.

Jika benar berlaku, maka ianya dilihat seperti mengesampingkan institusi Parlimen, memperlekeh penjawat awam yang melaksanakan tugas serta menghina orang muda dalam membuat pertimbangan.

Tan Sri Rais Yatim digesa untuk lebih fokus kepada usaha memperkasakan martabat Dewan Negara sesuai dengan peranan beliau sebagai Yang Dipertua berbanding berterusan bermain dengan sentimen politik sebegini.

Sebarang usaha untuk menggagalkan pelaksanaan undi 18 hendaklah segera dihentikan dan SPR serta agensi terlibat perlu diberikan kebebasan dalam melaksanakan tugas mengikut garis masa yang telah disasarkan iaitu pada Julai 2021. Janganlah kerana kekalahan PN semakin hampir, maka 1001 jalan manipulasi dirangka yang natijahnya akan merosakkan sistem demokrasi dan pentadbiran negara.

AKMAL NASIR
Ahli Parlimen Johor Bahru
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up