Saya membaca berita akan kunjungan DS Najib yang digambarkan sebagai 'hero' yang turun ke Pulau Pinang baru-baru ini. Kami selaku rakyat negeri ini 'terhibur' dengan dakwaan-dakwaan yang mengatakan sokongan kaum Cina sudah kembali bersama BN, dengan rentetan keputusan PRN Melaka, PRN Johor dan juga sambutan kaum cina kepadanya di negeri ini.
Saya melihat ini satu dakwaan yang bersifat 'simplistic' semata-mata tanpa berpijak di bumi nyata. 2 PRN itu bukan petanda trend undian di peringkat PRU. Para penyokong 'bossku' juga mengambil kira kehadiran ratusan orang yang hadir ke programnya di Pulau Pinang sebagai petanda baik akan kembalinya Najib di hati rakyat negeri ini khususnya kaum Cina.
Siapa pun boleh mengatur orang-orang atau penyokong yang masih ada untuk ditumpukan hadir ke satu-satu rally atau ceramah. Kami tahu, ramai yang hadir adalah saki-baki penyokong 'bossku' yang telah disusun awal untuk memenuhi acara tersebut. Itu saja.
Rakyat bijak menilai, bagaimana seorang yang sarat dengan tuduhan mahkamah yang bakal ke penjara dalam masa terdekat. Maka tindakan atau stunt ala 'desperado' diperlukan untuk meraih simpati rakyat. Rakyat Pulau Pinang masih ingat akan diskriminasi dan bagaimana kami dianaktirikan oleh Najib semasa beliau menjadi PM dulu, hanya kerana negeri ini ditadbir oleh kumpulan yang tidak sehaluan dengannya.
Justeru, saya ucap tahniah juga di atas pementasan drama yang boleh dijadikan kenangan terindah untuk di bawa ke penjara nanti oleh 'bossku'. Dalam kesempatan ini saya juga menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memahami baik-baik akan trend terkini iaitu semakin UMNO-BN berkuasa, maka makin teruk rakyat merana terseksa. Jangan bagi ruang kepada regim ini kembali berkuasa. Cukuplah 60 tahun rakyat menderita!
AMIR GHAZALI
Pengarah Komunikasi Pulau Pinang KEADILAN