Carian
June 14, 2022

Gejala Rasuah Dan Tindakan Tegas Kerajaan

Majlis Presiden Pakatan Harapan menimbulkan rasa risau serta marah apabila meneliti berita kejadian-kejadian rasuah yang semakin menjadi-jadi.

Terbaharu adalah keterangan mahkamah Tan Sri Mohd Sidek Hassan, mantan Ketua Setiausaha Negara merangkap ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Berdasarkan laporan media, beliau menerima bayaran sehingga sebanyak RM30,000 sebulan walaupun tiada sebarang mesyuarat lembaga penasihat 1MDB diadakan.

Ini menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.

Dalam kes berhubung Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pula, seorang bekas pengarah UKSB berkata Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima di antara SGD200,000 hingga SGD520,000 sebulan. Bekas pengarah itu juga berkata Khairy Jamaluddin melalui UMNO Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000.

Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi komitmen untuk memerangi rasuah. Oleh itu, beberapa reformasi dan tindakan tegas perlu dilaksana Kerajaan pada kadar segera termasuk Rang Undang-Undang Pendanaan Politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di bawah bidang kuasa Parlimen.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Anthony Loke Siew Fook
Democratic Action Party (DAP)

DSP Wilfred Madius Tangau
UPKO Malaysia (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up