Carian
September 21, 2021

Hentikan Salahguna Konsep Takdir Dalam Isu Alam Sekitar

Saya meneliti jawapan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tatkala menjawab soalan saya mengenai aktiviti pembalakan di Dewan Rakyat semalam.

Setelah mendengar hujahan beliau, perlu dijelaskan bahawa kawasan Gunung Jerai tidak berada di dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda. Justeru, segala kenyataan yang dibuatnya tidak tepat dan mengelirukan.

Merujuk kepada insiden kepala air yang berlaku di kawasan berkenaan sebelum ini, pihak kementerian harus melaksanakan siasatan menyeluruh apakah berlaku sebarang aktiviti pencerobohan hutan di kawasan tersebut.

Ini kerana Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) sebelum ini mengenalpasti kira-kira 3,500 hektar kawasan hutan simpan di seluruh negeri ini telah diteroka secara haram sejak 2011.

Menurut pakar hidrologi Chan Ngai Weng dari Universiti Sains Malaysia, perubahan iklim hanya faktor sampingan kepada musibah tersebut.

Tambah beliau lagi, faktor-faktor utama adalah pembalakan, aktiviti pembinaan dan penanaman (agro) serta penukaran status hutan dara ke kawasan penempatan.

NGO Sahabat Alam Malaysia (SAM) juga menyebut air yang berselut adalah bukti nyata bahawa aktiviti pembalakan terus berlaku dengan kadar yang melampau. Kerajaan negeri Kedah, kerajaan Persekutuan serta kementerian harus memantau dan bertindak.

Saya mendesak menteri bertanggungjawab agar lebih serius melakukan pemantauan dan hentikan salahguna konsep takdir kerana faktor-faktor utama adalah berpunca dari kerakusan dan ketamakan manusia.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up