Carian
April 5, 2022

Isu Tol Kejayaan Proses Yang Dimulakan Pakatan Harapan

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri semalam bahawa empat lebuhraya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

Tambahan, keempat-empat lebuhraya ini dilaporkan akan diambil alih oleh sebuah entiti iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion.

Hasil ini merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan Kerajaan Pakatan Harapan pada Oktober 2019 di mana Majlis Jemaah Menteri pada ketika itu telah memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuhraya-lebuhraya tersebut.

Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar Pakatan Harapan yang diteruskan hingga ke penghujungnya.

Ini membuktikan bahawa jika Pakatan Harapan terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan.

Sebagai contoh, Kerajaan Pakatan Harapan telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuhraya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020. Malah Pakatan Harapan telah merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuhraya ini.

Oleh itu, kami menggesa Kerajaan untuk memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuhraya ini, serta memberi penjelasan penuh ke Parlimen berhubung hakmilik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Anthony Loke
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up