Carian
March 6, 2021

Jangan Jadikan Agensi Kerajaan Senjata Politik

Majlis Presiden Pakatan Harapan dimaklumkan tentang siri tindakan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, pegawai-pegawai malah juga ahli-ahli keluarga mereka.
Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang. Tetapi sebarang penyalah gunaan institusi atau agensi dengan niat untuk mengganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima. Kami percaya ini telah dilakukan terhadap ramai termasuk YB Lim Guan Eng dan isteri, YB Larry Sng, YB Steven Choong, dan kini secara tidak langsung terhadap YB Dato’ Dr Xavier Jayakumar.

Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya penggunaan SPRM, LHDN, PDRM dan agensi-agensi lain sebagai ‘senjata politik’, terutama bagi tujuan menambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional ini.

Pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana yang sihat, dengan amalan demokrasi yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Pakatan Harapan juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta juga pembekuan akaun bank untuk menambahkan pendapatan kerajaan yang kian berkurangan.

Tindakan "memeras" perniagaan dalam keadaan kemelesetan ekonomi harus ditangguh kerana ia akan menyukarkan survival perniagaan dan menjejaskan pekerjaan.
YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

YB Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

YB Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up