Carian
March 13, 2021

Kompaun RM10k Serlahkan Sikap Autokratik Kerajaan PN

Keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar denda dari RM1,000 ke RM10,000 kepada mereka yang melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) terkait Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menonjolkan sikap yang tidak peka terhadap kesusahan rakyat serta satu langkah yang sangat tidak wajar, terutama sekiranya ia dikenakan kepada mereka yang mungkin secara tidak sengaja melanggarnya dan juga kemungkinan wujudnya kekeliruan terkait perkara tersebut.

Ketua Polis Negara juga telah menyatakan bahawa setakat ini seramai 330 individu telah dikenakan denda RM10,000 tersebut kerana didakwa melanggar SOP PKP.

Ini secara tidak langsung menampakkan wujudnya hukuman pilih kasih di mana terdapat segelintir orang-orang besar, ahli politik serta pegawai kerajaan yang secara terang-terangan melanggar SOP PKP tanpa sebarang tindakan lanjut atau denda.

Ini juga bukti nyata bahawa kerajaan ini mengamalkan sikap antara dua darjat dalam menguatkuasakan peraturan tatkala rakyat terus dimangsakan secara berterusan.

Kerajaan harus lebih peka dengan nasib dan kepayahan yang ditanggung rakyat saat ini. Ramai yang telah kehilangan pekerajaan dan hilang punca pendapatan.

Kadar denda yang tidak munasabah itu menyerlahkan kecenderungan yang autokratik kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak merampas kuasa tahun lalu melalui rencana yang jelek dan hina.

Pernahkah kerajaan ini fikirkan apakah rakyat mampu untuk membayar denda sejumlah RM10,000 sekiranya RM1,000 itu pun mereka tidak mampu? Bagaimana mungkin kita benarkan rakyat Malaysia yang miskin yang sudah pun dibebankan dengan kepayahan yang dahsyat, dikurung di penjara kerana tidak mampu membayar denda? Negara jenis apakah yang mahu kita bangunkan ini?

Apakah kerajaan ini bersedia untuk mendengar rintihan rakyat, atau apakah ia akan terus untuk tidak mempedulikannya sambil terus menyalahgunakan Pengisytiharan Darurat?

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up