Carian
October 18, 2021

Pakatan Harapan Kurang Setuju Dengan Pengumuman SPR Berhubung PRN Melaka

Majlis Presiden kurang bersetuju dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Kami turut kesal dengan kenyataan Pengerusi SPR seperti yang dilapor media bahawa hanya pengundi yang sudah lengkap dua dos vaksin boleh keluar mengundi, dan berpandangan bahawa tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.

Sungguhpun Pakatan Harapan menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos, dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang.

Kami menggesa pihak SPR untuk mengkaji semula pendirian silap ini, untuk memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan boleh keluar mengundi sekiranya PRN Melaka diteruskan.

Pada Rabu ini, Pakatan Harapan Melaka melalui sdr Adly Zahari akan memfailkan satu injunksi mahkamah berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka.
Satu sijil perakuan segera (certificate of urgency) telah diturut difailkan agar perkara ini dapat disegerakan, memandangkan Notis Pembubaran DUN Melaka hanya dikeluarkan pagi tadi.

Majlis Presiden menyokong penuh tindakan mahkamah yang diambil Pakatan Harapan Melaka.

Pakatan Harapan berpendirian bahawa pembubaran DUN Melaka telah dilakukan berdasarkan nasihat yang salah. Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri Melaka seharusnya mengikuti duluan di peringkat Persekutuan, di mana KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memanggil menghadap blok yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti terlebih dahulu.

Kami juga masih mengekalkan pendirian bahawa DSU Sulaiman Ali sepatutnya tidak dinamakan sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’ memandangkan beliau dengan jelas telah hilang sokongan majoriti sebelum tindakan pembubaran DUN Melaka berlaku.

Kami juga berpendirian bahawa waktu ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri, memandangkan penularan wabak COVID-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru hendak mula dibuka semula, dan kerisauan berlakunya gelombang ke-4.

Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan digunapakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up