Carian
April 29, 2021

PERUTUSAN NUZUL AL-QUR’AN 1442H

Memperingati turunnya kitab al-Qur’an bukanlah semata-mata soal pentarikhan kerana yang lebih mustahak adalah menangkap pesan-pesan maslahat yang disampaikan oleh Pembicaranya yang Agung yakni Allah SWT.

Intisari penting daripada mesej al-Qur’an yang merangkumi dimensi akidah, syariah dan akhlak adalah serasi dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat yang menyeru kepada keadilan dan kesaksamaan. Hakikat ini dikongsi oleh semua bangsa dan kaum serta menjadi dasar kepada apa jua bentuk kerjasama dan permuafakatan.

Bertambah unggul tatkala ia diturunkan pada bulan Ramadan al-Mubarak justeru memberkati kita dengan kemuliaan yang berlipat ganda, sebagaimana yang diabadikan dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

“Ramadan bulan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia serta keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (al-Furqan) antara yang benar dengan yang salah.”

Kebenarannya pada hari ini adalah rakyat kita sedang berdepan dengan masalah tadbir urus yang tempang dan yang mengamalkan sistem dua darjat. Hakikat pahit ini mengisyaratkan pentingnya untuk kita segera kembali kepada prinsip asas al-Qur’an yang berteraskan keadilan, kesaksamaan dan juga rahmat.

Kerana terpukau dengan tawaran laba, kuasa serta pangkat, sebahagian manusia gagal dan kecundang daripada beristiqamah dengan ajaran al-Qur’an. Mulut terbungkam daripada menyatakan kebenaran, sementara kaki menari mengikut rentak penguasa yang membeli jiwa mereka melalui sogokan.

Oleh yang demikian, adalah penting untuk peristiwa nuzul al-Qur’an ini diinsafi agar dengannya manusia kembali ke landasan yang benar, serta berdiri tegas melawan kezaliman, penindasan, salahguna kuasa dan pengkhianatan.

ANWAR IBRAHIM

Related Posts
crossmenuchevron-up