Carian
October 12, 2021

PH Menolak Penamaan Sulaiman Sebagai Ketua Menteri Caretaker Melaka

Majlis Presiden meneliti kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka semalam khusus berhubung penamaan Datuk Seri Utama Sulaiman Ali sebagai Ketua Menteri yang mengetuai Kerajaan ‘caretaker’ Melaka.

Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengakui bahawa Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah Kerajaan ‘caretaker’ dan seterusnya merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel.

Penting ditegaskan bahawa Pakatan Harapan menolak pembubaran DUN sebagai tidak berperlembagaan taktala negeri Melaka masih menghadapi wabak COVID-19 dan adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti ADUN-ADUN.

Oleh demikian Pakatan Harapan menolak penamaan DSU Sulaiman selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka sebelum DUN Melaka dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai Kerajaan Negeri Melaka.

Perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti yang diketuai sdr Adly Zahari bersama blok DSU Idris Haron, dan blok minoriti yang diketuai DSU Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.

Malah seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri.

Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak COVID-19.

Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran di kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat.
Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan 'caretaker' diwakili oleh golongan majoriti ADUN-ADUN.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up