Carian
April 11, 2022

Pindaan Perlembagaan Dan RUU Anti Lompat Parti

Pimpinan utama Pakatan Harapan telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) berhubung cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti di Parlimen pagi ini.

Hasil perbincang tersebut adalah seperti berikut:

1. Pindaan kepada Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan perlu diperhalusi supaya ianya dihadkan kepada Rang Undang-Undang berhubung larangan melompat parti sahaja;

2. Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan diusahakan penyelesaian, supaya selaras dengan semangat RUU Anti Lompat Parti;

3. Pindaan Perlembagaan yang dibentang hari ini akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti, dan ditugaskan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ke Jemaah Menteri dalam masa satu bulan; dan

4. Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti yang dipersetujui kedua-dua pihak akan dibentang dan diluluskan dalam satu sidang khas Parlimen sebelum penghujung bulan Mei 2022.

Majlis Presiden mengulangi pendirian bahawa RUU Anti Lompat Parti merupakan salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU). Pakatan Harapan komited kepada proses untuk memastikan Pindaan Perlembagaan dan RUU Anti Lompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia.

DS Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Hj Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Anthony Loke
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

DSP Madius Tangau
Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO)

Related Posts
crossmenuchevron-up