Carian
August 8, 2021

SPRM Perlu Siasat Siapa Di Sebalik Tawaran Kepada Ahli-Ahli Parlimen

Majlis Presiden Pakatan Harapan gusar dan mengutuk usaha kotor pihak tertentu ke atas sekurang-kurangnya tujuh Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen Rasah, Kota Melaka, Ipoh Barat, Kulim Bandar Baharu, Setiawangsa, Kuala Kedah dan Alor Setar untuk menawarkan habuan serta jawatan bagi memberi sokongan kepada Kerajaan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan secara serius, memandangkan kejadian-kejadian serupa pernah berlaku kepada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang sebelum ini.

Sekiranya SPRM gagal berbuat demikian ini hanya membuktikan dakwaan bahawa agensi Kerajaan diperalatkan sebagai senjata politik demi survival politik pihak tertentu dan bukannya mendaulatkan undang-undang.

Seperti yang umum sedia maklum, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin telah kehilangan majoriti dan masih enggan meletakkan jawatan berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, sesiapa yang cuba merasuah Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang mahupun yang telah menarik sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin telah bukan sahaja melakukan satu kesalahan, tetapi juga membolehkan Perdana Menteri yang tiada keabsahan mahupun majoriti untuk kekal berkuasa sambil rakyat terus merana.

Oleh itu, kami menegaskan bahawa Tan Sri Mahiaddin mesti letak jawatan segera, atau memanggil sidang khas Parlimen sekarang untuk membahas dan memutuskan usul undi percaya dalam masa terdekat.

Jangan gunakan masa sehingga September untuk "membeli" sokongan dengan pelbagai taktik yang tidak bermaruah dan menyalahi undang-undang.

Anwar Ibrahim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Mohamad Sabu
Parti Amanah Negara (AMANAH)

Lim Guan Eng
Parti Tindakan Demokratik (DAP)

Related Posts
crossmenuchevron-up