Saya kesal dengan keputusan mahkamah Mesir yang mengekalkan hukuman mati ke atas 12 orang aktivis yang terlibat dengan demonstrasi duduk bantah di dataran Rabi‘at al-Adawiyyah pada tahun 2013, yang menyaksikan hampir satu ribu nyawa terkorban dalam masa sehari di tangan pihak berkuasa.
Ini merupakan satu episod zalim daripada siri kebobrokan sistem kehakiman di Mesir yang berusaha keras untuk menamatkan riwayat para pendukung keadilan dan demokrasi.
Mesir juga perlu segera berhenti menjatuhkan hukuman mati secara bermudah-mudah ke rakyatnya. Kekerapan hukuman mati telah meningkat secara mendadak sejak tahun 2014, dengan tahun ini sahaja menyaksikan 51 orang telah ke tali gantung.
Ingatlah firman Allah Taala dalam surah al-Ma’idah ayat ke-32 yang bermaksud:
“Barangsiapa membunuh seorang manusia, bukan kerana dia membunuh manusia lain, dan bukan juga kerana melakukan kemusnahan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh segenap manusia.”
Saya menggesa agar dipertimbangkan dengan saksama pengampunan buat mereka yang dijatuhkan hukuman mati kerana ia lebih hampir kepada lunas keadilan dan ihsan.
Saya turut menyeru agar Mesir membuka lebih ruang buat rakyat dan badan agama penting seperti al-Azhar al-Sharif dalam menyuarakan pandangan mereka demi mewujudkan tatakelola negara yang lebih inklusif dan berkesan.
Saya sedar bahawa ada usaha terpuji yang digerakkan oleh Kerajaan Mesir dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan buat rakyat Palestin. Kita mengharapkan usaha ini dapat diteruskan termasuk langkah reformasi dalam negara.
ANWAR IBRAHIM