Carian
May 21, 2021

Kerajaan Harus Mempercepatkan Program Vaksinasi

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Chang Lih Kang, mendesak kerajaan PN mengendalikan program vaksinasi Covid-19 secara telus dan berkesan, agar kekebalan berkelompok boleh dicapai dalam masa terdekat.

Data KKM menunjukkan bahawa sehingga 18hb Mei, penduduk yang telah menerima 2 dos vaksin hanya di sekitar 790 ribu orang (2.5% daripada populasi Malaysia). Proses ini amat perlahan dan sangat membimbangkan.

Menurut Menteri yang mengendalikan program vaksinasi, Khairy Jamaluddin, fasa pertama program ini akan memberi keutamaan kepada 500 ribu orang anggota barisan hadapan untuk menerima vaksin. Selepas itu, fasa kedua yang bermula pada bulan April akan memberi tumpuan kepada 9.4 juta orang warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya. Maka, hanya sekitar 290 ribu orang yang telah menerima 2 dos vaksin dalam fasa kedua sejak April.

Lih Kang menyelar kerajaan atas program imunisasi yang terlalu perlahan. Bilangan kes baharu dan kematian mencatat rekod tertinggi kebelakangan ini, kebanyakan kematian adalah dari golongan warga emas dan kumpulan rentan. Program vaksinasi fasa kedua merupakan fasa yang amat ketara agar kadar kematian akan menurun. Namun, kita hanya capai 3% (290 ribu daripada 9.4 juta) vaksinasi sempurna di kalangan golongan rentan. Kadar keberkesanan yang terlalu rendah ini mengakibatkan ramai di kalangan Rakyat kita masih terdedah kepada ancaman yang besar.

Selain itu, Lih Kang juga menyeru kerajaan bersifat adil dalam pengagihan vaksin dan mengikut keperluan secara saintifik. Kerajaan perlu jelaskan apakah pertimbangan mereka dalam pengagihan vaksin? Sebagai contoh, hanya 3.81% penduduk Selangor yang telah menerima vaksin, sedangkan Selangor merupakan negeri berpopulasi tinggi dan mencatat kes baharu Covid-19 yang paling tinggi. Negeri Selangor yang menghadapi keadaan kritikal dan sepatutnya terima bilangan vaksin paling banyak merupakan negeri yang kedua rendah dalam penerimaan vaksin.

“Kerajaan harus agihkan sumber secara telus, adil dan saintifik serta mempercepatkan program vaksinasi, khususnya di Negeri Selangor demi menjaga keselamatan Rakyat seluruh negara.”

 

Related Posts
crossmenuchevron-up