Carian
April 14, 2023

Ahli Parlimen Maran berniat jahat untuk menimbulkan sentiment perkauman dan agama

Saya telah meneliti soalan-soalan Ahli Parlimen Maran dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas, 2023 yang ditularkan dalam media belakangan ini. Saya amat kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Maran kerana soalan-soalan tersebut adalah dengan jelasnya berniat jahat dan sebagai percubaan untuk menimbulkan sentiment perkauman dan agama. 

Hak mendapat warganegara adalah hak setiap rakyat Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Tindakan Ahli Parlimen Maran yang cuba mengapi-apikan isu perkauman dan membangkitkan isu warna kulit dalam kewarganegaraan adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan harusnya dikecam sekeras-kerasnya oleh seluruh rakyat Malaysia. 

Kita semua sedia maklum bahawa masih ramai rakyat di luar sana terutamanya daripada pedalaman Sarawak yang tidak mendapat dokumen warganegara atas faktor transport dan kekurangan kesedaran tentang prosedur pendaftaran kewarganegaraan. Namun, daripada memberi fokus kepada isu utama tentang kewarganegaraan dan membantu rakyat menyelesaikanya, Ahli Parlimen Maran telah menjadikan isu kewarganegaraan ini sebagai perkauman dan alat politiknya bagi mencapai publisiti murahan. 

Begitu juga dengan soalan-soalan lain yang cuba menuduh kampung baru terlibat dengan komunis dan cuba menimbulkan perasaan kebencian dalam kalangan penduduk Islam dengan menuduh sebuah Kerajaan Negeri mengeluarkan perintah larangan kepada semua masjid di negeri-negeri berkenaan supaya memperlahankan azan. 

Selaku anak Sarawak yang mencintai perpaduan dan keharmonian antara masyarakat yang berbilang kaum dan agama, saya ingin menyeru seluruh rakyat Sarawak untuk bangkit dan menolak ahli politik yang berfikiran sempit seperti ini dan sering menjadikan perkauman dan agama sebagai alat untuk tujuan politik tersendiri. 

Saya juga ingin menyeru pimpinan daripada Perikatan Nasional yang masih cinta kepada kebenaran untuk turut menyuarakan bantahan ke atas tindakan Ahli Parlimen Maran. 

CHIEW CHOON MAN
KEADILAN P.219 Parlimen Miri 

Related Posts
crossmenuchevron-up