Carian
August 1, 2022

Kerajaan BN Harus Turun Harga PR1MA dan RUMAWIP Sebanyak 50% Sebelum Tabur Janji PRU15 Selangor

ADUN Rawang KEADILAN Chua Wei Kiat menyeru MCA selaku sebahagian daripada parti komponen Kerajaan Persekutuan BN-PN supaya menurunkan harga rumah PR1MA dan RUMAWIP sebanyak 50% terlebih dahulu sebagai langkah menyelesaikan masalah rumah mampu milik yang tidak terjual bawah kawalan kerajaan pusat.

Ini susulan kenyataan populis yang dikeluarkan oleh MCA Selangor yang cuba memancing undi dengan janji bahawa BN akan menurunkan harga rumah mampu milik di Selangor sebanyak 50% sekiranya mereka merampas semula tampuk pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Pada bulan Januari 2022 yang lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican berkata sebanyak 7,729 rumah mampu milik di bawah harga RM300,000 tidak terjual di seluruh negara sehingga suku ketiga 2021.

Chua berkata ini merupakan projek rumah mampu milik bawah KPKT tidak terjual, MCA yang merupakan parti komponen yang memegang kuasa di kerajaan persekutuan dan beberapa negeri di Malaysia harus berani tampil supaya turut memberi cadangan potongan harga ini terlebih dahulu bagi menyakinkan rakyat terkait cadangan pemotongan harga yang 'dijanjikan’ seperti di Selangor.

"Saya yakin sekiranya Kerajaan BN-PN mengumumkan harga rumah PR1MA dan RUMAWIP dipotong 50%, rakyat akan menerimanya dengan baik, dan masalah rumah tidak terjual juga dapat diselesaikan."

Chua berkata sebelum ini MCA Selangor seolah-olah berada dalam keadaan hibernasi selepas kalah teruk di Selangor sejurus selepas PRU ke-14, dan kini apabila hampir PRU15 barulah MCA Selangor muncul secara tiba-tiba dengan pelbagai janji manis yang belum tentu boleh dilaksanakan di negara atau negeri yang BN telah mentadbir.

"Saya ingin menasihati MCA Selangor supaya mengaji dasar-dasar perumahan Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang ditadbir oleh BN sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan."

"Rumah Selangorku di bawah kerajaan negeri Selangor sehingga kini telah diluluskan sebanyak 130,545 unit rumah yang melibatkan 76 projek yang membolehkan rakyat Selangor memilikinya pada masa yang akan datang, malah sejak 2018 hingga kini sebanyak 24,428 telah berjaya disiapkan dan ditawarkan kepada pembeli, ia bermaksud permintaan terhadap rumah Selangorku adalah ditahap yang tinggi disebabkan tawaran yang menarik dan harga yang mampu milik."

Related Posts
crossmenuchevron-up