Carian
June 15, 2021

Cadangan Tarikh Tutup Pendaftaran Vaksin Tidak Masuk Akal

Kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan kelmarin, yang mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan tarikh tutup kepada pendaftaran vaksin dengan alasan supaya rakyat tidak sambil lewa atas usaha untuk mendapatkan vaksin ini, adalah benar-benar tidak wajar.

Bagi saya, ini jelas suatu cadangan yang tidak berasas dan tidak masuk akal. Sedangkan mereka yang telah lama berdaftar dalam sistem MySejahtera pun masih ramai lagi yang belum menerima vaksin, ini kan pula untuk menguatkuasakan tarikh tutuppendaftaran.

Jika kerajaan mahu terus menggunakan sistem pendaftaran vaksin untuk memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan (PICK) atau NIP ( National Imminisation Program) ini mudah untuk dipantau, maka seharusnya kita menggalakkan lebih ramai lagi rakyat berdaftar, perluas dan pemudahkan urusan pendaftaran. Ramai sukarelawan juga Ahli-ahli Parlimen dan

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri telah melaksanakan usaha ini di kawasan seliaan masing-masing. Agensi-agensi kerajaan yang wujud di kawasan-kawasan pendalaman yang tiada capaian internet boleh turut dikerah bagi membantu penduduk yang mungkin ada masalah dalam mendaftarkan diri mereka.

Apa yang lebih penting ialah mempercepatkan kemasukan vaksin ke negara ini, memudahkan akses kepada vaksin agar seramai mungkin rakyat mendapat suntikan vaksin dengan kadar yang segera. Banyak negara termasuk Singapura, Indonesia bahkan Amerika Syarikat sendiri memberi suntikan vaksin kepada rakyat mereka tanpa birokrasi pendaftaran dan telah pun mencapai kadar vaksinasi yang tinggi. Negara jiran Indonesia melaporkan capaianvaksin yang melebihi 300,000 suntikan sehari.

Mereka memperkenalkan kaunter bergerak, kaunter terbuka (open counter) dan kaunter pandu lalu (walk in counter) seperti apa yang dilaksanakan di Arizona, Texas dan Detroit, Amerika Syarikat serta membenarkan sesiapa sahaja menerima vaksin, mempermudahkan capaian vaksin kepada kumpulan-kumpulan sasar seperti warga emas dan pelajar demi memastikan rangkaian jangkitan Covid 19 ini diberhentikan secepat mungkin.

Malah sukarelawan khususnya sukarelawan perubatan, orang awam dan tentera turut memainkan peranan dan digembeling tenaga mereka tanpa kerenah birokrasi yang menyusahkan.

Dr.Zaliha Mustafa
Ahli Majlis Pimpinan Pusat
Pengerusi Biro Dasar, Strategi & Latihan, MPWP
Parti Keadilan Rakyat.

Related Posts
crossmenuchevron-up