Carian
July 20, 2021

Hadkan Harga Kit Ujian Saringan Kendiri COVID-19

Hadkan harga kit ujian saringan kendiri COVID-19 dan beri potongan cukai kepada syarikat yang menggunanya untuk saring pekerja

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah meluluskan 2 ujian saringan kendiri COVID-19 - Salixium COVID-19 Rapid Antigen (Saliva/Nasal swab) dibuat Reszon Diagnostics International Sdn Bhd dan Gmate COVID-19 Ag Saliva for Home Use oleh Philosys Co. Ltd., Korea Selatan.

Ini adalah satu perkembangan yang amat baik dan mampu merubah keadaan masa kini. Difahamkan pada waktu ini 15 kit saringan lain sedang diuji dan menanti kelulusan sekiranya menepati piawaian MDA. Saya menggesa MDA untuk percepatkan kelulusan-kelulusan ini agar peningkatan keperluan mendadak dapat ditampung pasaran dengan menyediakan lebih banyak pilihan yang menjamin harga kekal mampu dimiliki semua.

Walau bagaimanapun, untuk mengelak pencatutan, kerajaan perlu mengumumkan had siling harga jualan 2 kit tersebut dan mendakwa mana-mana penjual yang didapati melanggar had siling tersebut.

Kedua, untuk menggalakkan penggunaan kit-kit ujian saringan kendiri ini, kerajaan perlu pertimbang rebat cukai yang bermakna untuk semua syarikat yang ingin mengguna kit-kit ini untuk membuat saringan terhadap para pekerja mereka secara berkala. Satu mekanisma pelaporan dalam talian yang bersesuaian boleh diwujudkan sebagai asas mendapatkan rebat tersebut apabila tiba masa melaporkan cukai syarikat.

Ketiga, kerajaan perlu meraih faedah kesihatan awam maksima dari penggunaan meluas kit-kit ujian saringan kendiri ini oleh individu mahupun syarikat, dan kerajaan perlu berbincang dengan syarikat-syarikat pengeluar untuk mewujudkan mekanisme pelaporan mudah menggunakan MySejahtera bagi mereka yang didapati positif setelah membuat ujian saringan dengan kit-kit ini. Ianya sudah pasti tidak sukar untuk mewujudkan sistem kod bar yang boleh diimbas dan dihubungkan dengan satu modul dalam MySejahtera untuk melaporkan keputusan positif. Ini akan meningkatkan jumlah ujian dan membantu pengawasan keberadaan COVID-19 dalam masyarakat. Individu-individu yang didapati positif boleh kemudiannya diarah membuat ujian pengesahan menggunakan kit PCR.

Saya gesa Menteri Kesihatan untuk segera memberi respon kepada cadangan-cadangan ini, yang akan saya bawa ke sidang khas Parlimen minggu hadapan walaupun wujud pelbagai kekangan untuk berbahas.

YB Sivarasa Rasiah
Ahli Parlimen Sungai Buloh P107
20 Julai 2021

Related Posts
crossmenuchevron-up