Carian
August 13, 2021

Pembukaan Sekolah Pada 1 September

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengambil maklum mengenai keputusan KPM untuk mempertimbangkan keputusan membuka sekolah pada 1 September 2021. Hal ini telah menimbulkan banyak kegusaran di dalam jiwa masyarakat. JKPPH telah mengambil sikap proaktif dengan mengadakan pungutan suara (survey) atas talian yang telah dilakukan dalam tempoh 48 jam bermula dari 11/8/2021 sehingga 13/8/202.

Dari 421,446 responden yang telah menyertai pungutan suara tersebut yang terdiri dari kalangan ibu bapa, guru-guru dan kakitangan sekolah yang telah memberikan respon, seramai 94.6% (398,687 orang) tidak bersetuju untuk sekolah dibuka pada 1 September, dan hanya 5.4% sahaja yang bersetuju. Dari semua responden tersebut, seramai 87.1% (367,079 orang) terdiri dari kalangan ibubapa, manakala 9.7% adalah guru, dan 2.4% adalah dari kakitangan sekolah. Bilangan kes yang semakin meningkat, dan juga bilangan kematian yang semakin tinggi menjadikan ibu bapa tidak mahu memperjudikan nasib anak-anak mereka (Rujuk Lampiran).

Di samping itu, pelbagai pungutan suara juga telah dilakukan oleh banyak pihak melalui atas talian membantah sekolah dibuka pada 1 September nanti. Hal ini perlu diberikan perhatian serius oleh KPM di dalam membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

Di dalam mengharungi dampak wabak Covid-19 kepada pendidikan dan di dalam membawa solusi kepadanya, kerajaan dan rakyat perlu berpijak di atas lima dasar utama yang tidak boleh diabaikan dan ditinggalkan:
1- Keselamatan dan nyawa rakyat wajib diberikan keutamaan;
2- Akses pendidikan berkualiti untuk semua;
3- Pendidikan adalah tanggungjawab semua pihak;
4- Tiada satu contoh mithali yang boleh dikatakan terbaik. Usaha inovasi perlu sentiasa berjalan.
5- Pendidikan adalah proses holistik pembinaan kemanusiawian dan potensi di dalam diri individu.

Di dalam isu buka tutup sekolah JK Pendidikan Pakatan Harapan menggesa agar pihak KPM memastikan:

1.Segala keputusan yang hendak diambil mestilah berpandukan data dan sains, berteraskan panduan yang telah diberikan oleh WHO dengan mengambil kira Kadar jangkitan dalam komuniti, Peningkatan Kes Baharu, Kadar Kematian dan Kes yang dimasukkan ke ICU.

2.KPM hendaklah mempunyai pelan strategik yang jelas, komprehensif dan meyakinkan berkaitan panduan buka dan tutup sekolah yang dibangunkan bersama dengan pihak pakar kesihatan dari WHO, UNESCO, Unicef, KKM dan juga Hospital Pakar UM. Pelan dan SOP yang telus ini mestilah dibentangkan kepada rakyat.

3.Elakkan dari membuat keputusan berdasarkan kaedah ‘One Size fits all’ (pukul rata). Keputusan berpusat (centralized) untuk pembukaan dan penutupan sekolah tidak akan membantu, menyebabkan ramai pelajar keciciran, menyebabkan munculnya kluster sekolah dan telah terbukti gagal sebelum ini.

4.KPM perlulah membentangkan terlebih dahulu SOP khas untuk pelajar kategorikan non vaksin di dalam kawasan sekolah dan di luar kawasan sekolah berdasarkan sains dan data sebelum meneruskan keputusan mereka untuk membuka sekolah.

5.KPM juga perlu selesaikan proses vaksinasi kepada semua yang terlibat dalam eko-sistem Pendidikan dari kalangan guru, pekerja sekolah, termasuk kakitangan kantin, pengawal keselamatan dan pemandu bas dan van sekolah tanpa terkecuali. Keselamatan mereka perlu diberikan keutamaan di dalam apapun keputusan yang diambil. Dahulukan vaksinasi kepada mereka yang luar bandar kerana kadarnya sedikit berbanding di luar bandar, dan agar sekolah-sekolah di sana boleh dibuka segera. Lakukan pemberian vaksin di Kawasan sekolah tanpa mereka perlu ke PPV.

6.Kerajaan juga perlu mengkaji semula untuk membenarkan program vaksinasi pada pelajar kelas peperiksaan SPM, STAM dan STPM secara sukarela. Ramai ibu bapa yang boleh bersetuju dengan keputusan untuk membenarkan anak-anak ini kembali ke sekolah jika anak-anak mereka telah menerima vaksin.

7.KPM harus berbincang dan melibatkan banyak pihak seperti NUTP, Kesatuan Guru-Guru Malaysia Barat (KGMMB), Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), persatuan-persatuan ibu bapa dan pihak Malaysian Paediatric Association (MPA) sebelum mengambil apa-apa keputusan berhubung isu ini.

8.Jika KPM bertegas ingin semua sekolah dibuka, pastikan ianya dilakukan secara berfasa dengan keutamaan diberikan kepada:
(a) Sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman yang kurang murid terlebih dahulu,
(b) Disusuli sekolah-sekolah di kawasan hijau,
(c) Kemudian barulah pembukaan sekolah ke kawasan yang kadar penerima vaksinnya melebihi had imuniti kelompok.
Pembukaan serentak di seluruh negara dikhuatiri hanya akan mengulangi kluster sekolah seperti sebelum ini.

9.Jadual persekolahan bergilir juga perlu dilaksanakan selain dari SOP yang ketat bagi sekolah-sekolah yang padat demi mengelakkan faktor kepadatan di sekolah mengulangi insiden kluster sekolah sekali lagi.

10.Banyakkan masa murid-murid berada di luar bilik darjah dan di tempat yangterbuka. Penularan virus dalam ruangan tertutup 18 kali ganda dari ruang terbuka. Dalam keadaan terbuka, penularan berkurangan.

11.Apa yang utama ialah apa sahaja keputusan yang diambil oleh KPM, kuasa autonomi hendaklah diberikan kepada pihak sekolah dengan kerjasama PPD untuk merangka apa yang terbaik dengan keadaan lokaliti mereka berdasarkan panduan dari semua pemegang taruh seperti PIBG, pihak pengusaha kantin dan bas
sekolah, Pusat Kesihatan Daerah (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan, dan juga pihak MKN. Segala keputusan mestilah berdasarkan analisis data yang terperinci berhubung daerah tersebut.

“MEMULIHKAN NEGARA, MENGEMBALIKAN DEMOKRASI”

Anggota Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan:
YB Dr Maszlee Malik, Pengerusi JK Pendidikan Pakatan Harapan (Ahli Parlimen Simpang Renggam)
YB Nik Nazmi Nik Ahmad (Ahli Parlimen Setiawangsa, KEADILAN)
YB Datuk Dr Hasan Bahrom (Ahli Parlimen Tampin, AMANAH)
YB Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai, DAP)
YB Natrah binti Ismail (Ahli Parlimen Sekijang, KEADILAN)
YB Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam, DAP)
YB Rusnah Aluai (Ahli Parlimen Tangga Batu, KEADILAN)

Related Posts
crossmenuchevron-up