Carian
June 29, 2021

Sampai Bila Kerajaan Hendak Terus Membela Pihak Bank?

1. Salah satu poin yang paling banyak dapat perhatian orang ramai dalam Pakej Pemulih adalah pengumuman Moratorium pinjaman Bank selama 6 bulan bermula 1 Julai 2021;

2. Kali ini moratorium bukan lagi diberi secara otomatik tetapi setiap individu perlu membuat permohonan kepada pihak Bank walaupun dikatakan permohonan pasti akan diluluskan tetapi birokrasi yang terlibat tentu akan melambatkan proses berbeza dengan perlaksanaan moratorium secara pukal & otomatik semasa PKP 1.0.

3. Yang lebih ketara, telah disahkan oleh Menteri Kewangan hari ini, moratorium ini bukanlah ‘interest-free’/ bebas faedah bermakna pinjaman yang sedia ada akan dicajkan dengan faedah untuk tempoh 6 bulan ini.

4. Saya rasa amat kesal dan dukacita dengan kerajaan yang jelas nampak membela pihak Bank padahal patut menolong rakyat. Pada PKP 1.0 mungkin rakyat masih ada sedikit simpanan, tetapi jelasnya selepas lebih 15 bulan ekonomi on/off, rakyat sudah habis simpanan dan keupayaan untuk menghadapi krisis ekonomi ini.

5. Yang rakyat tuntut bukan sahaja moratorium otomatik tetapi juga morotarium bebas faedah.

6. Saya rasa tidak susah untuk kerajaan melaksanakan ini. Kita sedia faham pada tahun lepas eksekutif bank mendapat bonus berbulan-bulan dan pihak Bank mengaut untung berbilion-bilion ringgit walaupun negara dalam PKP dan keadaan ekonomi yang tidak menentu terutamanya bagi golongan B40, M40 & Mikro-PKS.

7. Sebagai contoh, berdasarkan kepada laporan kewangan, Maybank, bank terbesar di Malaysia telah mengaut keuntungan sebanyak RM6.48 bilion bagi tahun 2020. Begitu juga Public Bank Berhad, telah mengaut keuntungan sebanyak RM4.87 bilion bagi tahun 2020.

8. Mengapa kerajaan sampai peringkat ini masih hendak membela pihak Bank yang jelas ada keupayaan untuk mengecualikan faedah untuk 6 bulan sahaja. Kalau seluruh rakyat dan kebanyakan sektor industri boleh membuat pengorbanan sepanjang masa PKP, mengapa pihak bank tidak boleh?

9. Justeru, saya mendesak kerajaan sedia ada ini untuk meletakan kebajikan rakyat di hadapan dan bukannya pihak Bank & segera mengumumkan semua pinjaman dalam tempoh moratorium adalah interest free.

Jimmy Puah Wee Tse
Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor
Ahli Dewan Undangan Negeri Johor – N51 Bukit Batu

Related Posts
crossmenuchevron-up