Carian
April 30, 2021

Akhirnya Rina Muncul!

Merujuk kepada laporan media yang memetik kenyataan Menteri KPWKM yang akhirnya muncul memberikan kenyataan selepas beberapa hari rakyat dan seluruh negara hangat membincangkan isu jenaka rogol dan ugutan rogol yang didakwa oleh seorang pelajar dilakukan oleh guru dan rakan sekelas di sekolahnya.

Kelewatan kenyataan Rina memperlihatkan bahawa KPWKM sangat tidak kompeten dalam melakasanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasa sebuah kementerian yang menjadi frontliner dalam isu perlindungan wanita dan kanak-kanak.

Sehingga kini, walaupun Rina telah mengeluarkan kenyataan, tetapi tidak ada sebarang jawapan yang tuntas berkaitan perlindungan kepada pemandiri yang merupakan kanak-kanak serta jaminan tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ada untuk memastikan kejadian ini tidak lagi berulang dan keadilan untuk pemandiri dapat ditegakkan.

Rina juga di dalam kenyataannya, telah gagal menyatakan dengan jelas apakah pendirian kerajaan hari ini dalam aspek Child Protection Policy ( Polisi Perlindungan Kanak-kanak) yang wajar diangkat dan dilaksanakan oleh KPWKM dalam kes- kes yang melibatkan aduan jenaka rogol dan ancaman/ugutan rogol terhadap kanak-kanak.

Lebih mengecewakan, dalam kenyataan yang sama, Rina memberikan harapan palsu dan bayangan sekali lagi bahawa Kerajaan hari ini masih gagal membawa RUU Akta Gangguan Seksual untuk dibentangkan di Parlimen walaupun sebelum ini beliau pernah menyatakan RUU tersebut akan siap pada bulan Mac, 2021.

Jika dirujuk kepada Pelan Strategik KPWKM 2021-2025 yang dilancarkan pada Mac 2021 yang lalu(mukasurat 27), tahun sasaran penggubalan undang - undang berkaitan gangguan seksual telah ditetapkan pada tahun 2021-2022. Ini bermaksud rakyat perlu menunggu sehingga tahun hadapan sebelum undang-undang ini menjadi kenyataan.

Dalam masa yang sama, saya juga mempersoalkan apakah Timbalan Menteri KPWKM masih wujud dan kompeten menjalankan tanggungjawab serta fungsinya dalam KPWKM kerana sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada beliau khsusunya yang menjurus kepada perlindungan kanak-kanak dan pembelaan terhadap maruah dan hak wanita.

Akhirnya Rina muncul! Tetapi gagal memahami isu sebenar dan tidak kompeten mengendalikan perlindungan dan pembelaan untuk pemandiri jenaka rogol!

FADHLINA SIDDIQ
PENGERUSI BIRO GUAMAN DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI
WANITA KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up