Carian
March 10, 2021

Muhyiddin Digesa Tumpu Isu Keselamatan Dan Keganasan Terhadap Wanita

Merujuk kepada kenyataan media saya bertarikh 6 Mac 2021 dan laporan media yang melaporkan beberapa kejadian yang melibatkan keganasan sehingga menyebabkan kematian beberapa orang wanita dalam beberapa kejadian yang berasingan, menunjukkan tahap keselamatan dan keganasan terhadap wanita dalam tempoh pandemik ini semakin meruncing.

Saya melahirkan rasa kebimbangan dan keresahan yang serius memandangkan keganasan terhadap wanita yang mengakibatkan kematian dan kecederaan ini ada yang berlaku di dalam rumah mereka sendiri dan di dalam kawasan kejiranan.

Berikutan kadar peningkatan kes keganasan terhadap wanita-wanita ini yang hanya berselang 4 hari sahaja, maka saya menyeru seluruh kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin terutamanya Menteri KPWKM, YB Datuk Rina Harun untuk segera menumpukan isu keselamatan dan perlindungan kepada wanita yang terdedah kepada pelbagai dimensi dan ancaman keganasan yang melibatkan ancaman kepada nyawa, harta benda, maruah serta keselamatan diri mereka diberikan perhatian khusus.

Saya menggesa agar seluruh sinergi KPWKM direkayasa dan mengulangi sekali lagi perkara-perkara berikut untuk perhatian seluruh Kabinet Muhyiddin:-

i. Mempersiap dan memaksimakan sebaran talian kasih 15999 diseluruh negara dengan pengkhususan kepada pengendalian kes-kes keganasan terhadap wanita.

ii. Meningkatkan latihan dan sinergi semua autoriti yang terlibat sebagai ‘First Respondent” termasuk PDRM, Hospital dengan kelengkapan “One Stop Crisis Centre (OSCC) dan menambah bilangan pegawai JKM untuk mengendalikan kes-kes keganasan terhadap wanita dengan lebih efektif.

iii. Menyegerakan sokongan polisi dana kepada NGO-NGO bagi melengkapkan ekosistem sokongan khususnya menyediakan perlindungan/transit kepada wanita yang menjadi mangsa/pemandiri keganasan.

iv. Meningkatkan kewaspadaan komuniti dan ahli masyarakat khususnya peranan ahli kariah untuk saling menjaga keselamatan dan mengambil berat terhadap jiran tetangga khususnya keselamatan kaum wanita dan kanak-kanak dalam komuniti.

Saya menggesa kerajaan Muhyiddin agar segera menangani isu ini dengan lebih serius dan efisyen. Keselamatan nyawa, maruah dan harga diri wanita harus sentiasa menjadi keutamaan kepimpinan negara dan tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan termasuklah dalam tempoh pandemik ini.

FADHLINA SIDDIQ
PENGERUSI BIRO GUAMAN DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI
WANITA KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up