Carian
September 10, 2021

Usah Rayu Keputusan Mahkamah Tinggi: Pertahan Prinsip Tiada Diskriminasi Gender, Junjung Perlembagaan Persekutuan

1.Saya merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mengiktiraf hak ibu adalah sama di sisi undang-undang sebagaimana hak bapa dalam penentuan kerakyatan/ kewarganegaraan kanak-kanak. Ia adalah sebuah kejayaan perundangan yang bersejarah dalam usaha mengangkat agenda penghapusan diskriminasi gender serta menjunjung prinsip keluhuran di bawah Perlembagaan Persekutuan.

2.Dalam merealisasikan penghakiman tersebut, Mahkamah telah memberikan status undang-undang yang sama dalam memaknai maksud hak ibu adalah sama dengan hak bapa apabila perkataan “bapa” di dalam jadual kedua Perlembagaan Persekutuan mestilah juga membawa maksud “ibu”.

3.Seiring dengan maksud tersebut, ibu yang terlibat mesti melalui semua proses undang-undang yang sama sebagaimana bapa dalam usaha mendapatkan kerakyatan/ kewarganegaraan anak-anak mereka.

4.Malah Mahkamah di dalam penghakimannya juga telah mengarahkan agar semua pihak-pihak berautoriti yang berkaitan dan relevan dengan urusan ini memberikan kerjasama dengan mengeluarkan dokumen yang berkaitan dengan identiti pengenalan kanak-kanak tersebut.

5.Sebagai seorang ibu, saya cukup terkesan dengan keputusan Mahkamah Yang Mulia ini memandangkan ia mesti diraikan dalam pelbagai dimensi kemanusiaan dan hak asasi termasuk hak serta kebajikan kanak-kanak yang mesti diutamakan dalam semua keadaan.

6.Saya juga menggesa agar, Perdana Menteri Malaysia YAB DS Ismail Sabri, sebagai peneraju utama Kerajaan Baharu untuk mengambil pendekatan tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan kes ini dan terus mengambil pendekatan meraikan sebagai polisi yang akan menjamin keutuhan institusi keluarga, hak kanak-kanak dan penghapusan diskriminasi gender dalam ruang lingkup “Keluarga Malaysia”.

7.Sekalung tahniah dan penghargaan juga saya ucapkan kepada semua ibu yang telah berjuang dalam memastikan keputusan berkaitan kes ini menjadi salah satu keputusan paling bermakna dalam sejarah perundangan negara.

Fadhlina Sidek
Senator Ahli Dewan Negara
Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti
Wanita KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up