Carian
September 15, 2021

Dekriminalisasi Jenayah Cubaan Bunuh Diri: Segerakan Proses Pindaan Tanpa Lengah

1.Saya merujuk kepada laporan media yang melaporkan bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) sedang menimbangkan cadangan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai jenayah sebagaimana yang terkandung di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

2.Mengambil kira perkembangan kesihatan mental rakyat dan gesaan keras yang dibuat oleh komuniti kesihatan mental, saya menggesa agar proses dekriminalisasi jenayah cubaan bunuh diri tersebut disegerakan oleh kerajaan tanpa sebarang kelengahan.

3.Saya menegaskan bahawa pendirian ini telah dibuat dengan tegas semasa pemerintahan kerajaan PH yang lalu, dengan melihat bahawa undang-undang sedia ada tidak efektif dalam memastikan individu yang cenderung membunuh diri untuk mendapatkan bantuan dan rawatan. Malah ia menyebabkan mereka sedaya upaya memastikan percubaan bunuh diri tersebut berjaya.

4.Saya juga berpandangan pendekatan hukuman sedia ada tidak sejajar dengan pendekatan intervensi, rawatan dan pemulihan yang sebenarnya lebih diperlukan untuk merawat mereka yang berhadapan dengan isu kesihatan mental.

5.Akhirnya, saya menggesa agar proses dekriminalisasi jenayaah cubaan bunuh diri ini disegerakan tanpa sebarang kelengahan oleh Pejabat Peguam Negara dengan siri-siri libat urus dengan pemegang taruh secara efektif sebelum dibawa ke Parlimen.

6.Impak pandemik bukan sahaja telah mengorbankan nyawa rakyat terbanyak. Malah telah meragut kesihatan mental rakyat yang sangat memerlukan dokongan emosi dan intervensi segera dalam konteks penyelesaian holistik dalam polisi kesihatan awam negara.

Fadhlina Sidek
Ahli Senator Dewan Negara
Pengerusi Biro Guaman & Pembangunan Komuniti
Wanita KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up