Carian
June 24, 2022

KEBEJATAN MEKANISME KERAJAAN MENGURUS ISU KEPERLUAN RAKYAT DAN KEGAGALAN KERAJAAN MENYELARAS ISU SUBSIDI

1. Saya mengikuti penuh polemik isu kenaikan harga barang dan pengumuman kerajaan berkaitan kenaikan harga barang-barang asas dan penarikan subsidi terkait dengan keperluan asasi rakyat.

2. Setakat pengumuman oleh YAB PM Malaysia semalam, tiada apa yang progresif dan benar-benar menyelesaikan isu penderitaan rakyat melainkan tawaran yang masih bersifat “gula-gula” yang manisnya sekadar untuk membuatkan rakyat melupakan isu sebenar buat seketika.

3. Hakikatnya, peningkatan kos sara hidup dan penyelarasan subsidi ini telah berlangsung sekian lama antara derita jerih payah rakyat menempuh kehidupan sukar setiap hari dengan aksi pemimpin negara yang gemar membuat adegan drama yang melelahkan rakyat. Hari ini, umum penarikan subsidi, besok muncul sebagai hero kononnya dengan pengumuman insentif baru untuk rakyat. Semua drama ini ditonjolkan untuk menutup sisi tidak kompeten kerajaan yang semakin bejat mengurus tata kelola negara.

4. Saya ingin menegaskan bahawa isu penarikan subsidi dan peningkatan harga barang serta kos sara hidup ini telah memberikan kesan langsung kepada komuniti miskin dan faqir serta kanak-kanak.

5. Isu mulnutrisi dan bantut di kalangan kanak-kanak di Malaysia sangat serius dengan 1:5 di kalangan kanak-kanak di Malaysia adalah di bawah kategori bantut. Manakala isu malnutrisi juga semakin meningkat apatah lagi dengan impak pandemik serta ketidaktentutan kenaikan harga barangan yang memberikan kesan langsung kepada “hidangan” yang akan disediakan oleh setiap keluarga miskin dari dapur masing-masing.

6. Impak kenaikan barang dan penarikan subsidi ini juga telah memperlihatkan kesan yang menghimpit sekumpulan lagi golongan rentan dalam masyarakat khususnya kanak-kanak yang terlibat dengan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

7. Saya cukup bimbang sekiranya impak kenaikan harga ini serta penarikan subsidi pastinya akan memberikan kesan kepada kos pengusaha kantin sekolah yang semakin tinggi dan akhirnya program RMT ini tidak dapat diteruskan untuk membela kanak-kanak miskin yang berhadapan dengan isu malnutrisi.

8. Kebejatan mekanisme kerajaan mengurus dan menangani isu kos sara hidup dan penarikan subsidi ini memperlihatkan kegagalan yang berpanjangan dan kerajaan seolah-olah hilang kawalan, tidak kompeten dan sangat lemah menyelesaikan isu yang menjerut kehidupan rakyat saban hari.

9. Apa pilihan yang kita ada? Mobilisasi rakyat dan lawan!!!!!!

Fadhlina Sidek
YB Senator Dewan Negara

Related Posts
crossmenuchevron-up