Carian
April 5, 2021

Pelajar Sekolah Rendah Dan Menengah Kembali Ke Sekolah, Berikan Komputer Riba Inisiatif Cerdik Kepada Mahasiswa B40

Lima bulan telah berlalu sejak pengumuman Tengku Zafrul, Menteri Kewangan pada 6hb November 2020 berkenaan pemberian 150,000 komputer riba kepada pelajar di 500 sekolah rendah dan menengah. Malangnya sehingga hari ini belum ada pengumuman dari Menteri Kewangan mahupun Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkenaan status terkini program Inisiatif Cerdik yang dikelolakan Yayasan Hasanah.

Umum sedia maklum, sewaktu mengumumkan program ini, Menteri Kewangan berkata RM150 juta akan dikumpul dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC). Namun sehingga hari ini, kita belum diberitahu adakah jumlah tersebut telah dicapai atau tidak, dan berapakah sumbangan yang diterima dari setiap GLC atau GLIC.

Pada masa sama, laman web Inisiatif Cerdik menyatakan komputer-komputer riba ini bukan lah pemberian penuh kepada para pelajar B40 tetapi hanya pinjaman (sama seperti Skim Buku Pinjaman) yang perlu dipulangkan pada akhir tahun, dan keluarga B40 yang gagal memulangkan akan dikenakan denda. Perkara ini telah dikritik keras oleh semua pihak, namun Menteri Kewangan dan Menteri Kanan Pendidikan kedua-duanya langsung tidak memberi komen.

Kita juga tidak diberitahu spesifikasi dan jumlah komputer riba yang telah berjaya diperolehi, jumlah yang telah berjaya diagih, serta senarai sekolah yang telah menerima komputer-komputer riba tersebut.

Paling malang sekali, kita tidak tahu sama ada kumpulan sasaran program ini iaitu pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga B40 telah dapat memanfaatkan komputer riba ini atau tidak untuk kegunaan program Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), memandangkan sekolah-sekolah rendah telah dibuka bermula 1hb Mac 2021 dan sekolah-sekolah menengah pula telah dibuka bermula hari ini.

Kegagalan Menteri Kewangan dan Menteri Kanan Pendidikan untuk memberi kemas kini status program ini amat menyedihkan dan sangat dikesali, namun tidak memeranjatkan bagi sebuah pentadbiran yang sering melakukan u-turn disamping terumbang-ambing akibat isu kestabilan politik dalaman.

Saya berasa amat sedih kerana begitu ramai ibu bapa malah juga pelbagai pihak yang telah berhempas pulas berusaha mendapatkan peranti untuk para pelajar bagi tujuan PdPR. Apakah Menteri Kewangan dan Menteri Kanan Pendidikan tidak merasakan sekelumit pun kesal atau bertanggungjawab terhadap masalah yang dihadapi ibu bapa dan para pelajar ini?

Oleh itu, saya berpandangan bahawa sekiranya komputer-komputer riba ini belum diberi kepada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah, kerajaan wajib mengubahsuai program untuk memberikan komputer-komputer riba ini secara penuh (bukan pinjaman) kepada penerima di kalangan lebih 320,000 mahasiswa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari keluarga B40. Ini kerana ramai di kalangan mereka tidak boleh hadir ke kampus kerana kekurangan tempat tinggal dan terpaksa mengikuti kuliah secara dalam talian. Setidak-tidaknya, ada kumpulan pelajar yang boleh memanfaatkan komputer-komputer riba ini sekarang.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai

Related Posts
crossmenuchevron-up