Carian
September 26, 2022

SCAMMER: LIMA LANGKAH BANK NEGARA PERLU DISUSULI LIMA LANGKAH KERAJAAN

Saya alu-alukan dan terima baik pengumuman Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus bahawa beberapa tindakan segera akan dilakukan institusi-institusi kewangan bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian (online scams).

Seperti yang kita semua sedia maklum, setiap tahun 20,000 orang menjadi mangsa scammer dan lebih RM660 juta dicuri oleh scammer-scammer ini. Ini bersamaan dengan lebih kurang 60 mangsa scam yang kehilangan RM2 juta setiap hari.

Maka lima langkah yang diumum Gabenor seperti migrasi dari SMS One-Time Password (OTP) kepada sistem pengesahan transaksi yang lebih selamat; memperketat peraturan pengesanan penipuan dan bertindak menyekat transaksi yang disyaki terlibat dengan penipuan; ‘cooling-off period’ bagi pendaftaran pertama perkhidmatan perbankan dalam talian serta peranti; menghadkan pengesahan kepada satu peranti untuk setiap pelanggan; dan mewujudkan hotline scam bagi setiap bank adalah langkah-langkah yang baik dan saya percaya mampu membantu mengurangkan jumlah jenayah scam.

Pada masa yang sama, memandangkan jenayah scam ini bersifat cepat berubah dan amat kreatif, saya berpandangan sekurang-kurangnya lima langkah berikut perlu dilakukan segera oleh Kerajaan, iaitu:

Pertama, menubuhkan satu pusat anti-scam kebangsaan yang berpangkalan di Bank Negara Malaysia, melibatkan kesemua agensi termasuk PDRM, ABM, AIBIM, SKMM, Pejabat Peguam Negara, NACSA, Cybersecurity Malaysia, Ombudsman for Financial Services dan lain-lain;

Kedua, meminda atau mengubah had kerugian bagi transaksi dalam talian tanpa kebenaran dari RM25,000 ke RM100,000 bagi Ombudsman for Financial Transaction, supaya lebih ramai mangsa scammer akan mendapat akses perkhidmatan OFS;

Ketiga, mewujudkan Dana Pemulihan (Recovery Fund) bagi membantu mangsa scam dari segi kewangan, sama ada dengan ganti rugi penuh atau separa penuh jumlah yang dicuri scammer;

Keempat, menubuhkan satu ‘high-level taskforce’ bagi mendakwa di mahkamah mereka yang terlibat membuat panggilan scammer, menempat atau melindungi penjenayah scammer, serta merancang aktiviti scammer, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah sekiranya pusat-pusat panggilan atau aktiviti jenayah scammer tersebut berpangkalan di luar negara; dan

Kelima, menjalin hubungan pelbagai hala (multi-lateral) di antara negara-negara ASEAN untuk mempertingkat keselamatan siber negara masing-masing serta mewujudkan protokol-protokol kerjasama termasuk dari segi undang-undang bagi menghapuskan jenayah scammer di rantau ASEAN.

Hari ini merupakan hari di mana perang menentang scammer mula beralih untuk memihak kepada rakyat. Namun perang ini baru sahaja bermula, dan tidak akan tamat sehingga kepala-kepala scammer berjaya didakwa di mahkamah, modus operandi scammer dipatahkan, dan mangsa-mangsa scammer mendapat keadilan.

Fahmi Fadzil
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan
Ketua Penerangan KEADILAN

Related Posts
crossmenuchevron-up