Carian
August 24, 2021

KEADILAN Pulau Pinang Menyokong Penuh Kepimpinan Anwar Ibrahim

Pada 21 Ogos 2021, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan melantik Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang ke-9. Kami menjujung kasih di atas titah tersebut. Pelantikan ini dilaksanakan berdasarkan lunas perlembagaan serta amalan demokrasi berparlimen raja berperlembagaan selaras dengan usaha menjaga kepentingan rakyat dan negara.

KEADILAN Pulau Pinang menyatakan pendirian menyokong penuh kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden KEADILAN serta Pakatan Harapan. Agenda peduli rakyat akan sentiasa digalas seiring dengan kelangsungan perjuangan reformasi.

Melihat kepada situasi wabak COVID-19 yang semakin meruncing, kerajaan perlu memperhalusi setiap keperluan yang wajar bagi menyelesaikan isu ini. Kesejahteraan rakyat dari segi ekonomi, pembangunan kesihatan dan pendidikan amat penting di mana pelan yang berkesan perlu dilaksanakan dengan kadar segera. Sebarang bentuk salah guna kuasa, penyelewangan atau tindakan berunsur rasuah wajib dihentikan dengan serta merta. Kerajaan juga perlu meneliti keperluan setiap lapis masyarakat berdasarkan kategori masing-masing secara adil dan saksama.

Anggota parti serta akar umbi KEADILAN Pulau Pinang akan terus meningkatkan usaha menyantuni masyarakat. Usaha memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat akan sentiasa digembleng bersama jentera KEADILAN di peringkat Cabang selain membuat persiapan sewajarnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
YB MUHAMMAD BAKHTIAR BIN WAN CHIK
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri

YB DR NORLELA BINTI ARIFFIN
Ketua Wanita KEADILAN Negeri

FAHMI BIN ZAINOL
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri

Related Posts
crossmenuchevron-up