
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Kelantan ingin menegaskan bahawa kesemua 14 Ketua Cabang bersama seluruh jawatankuasa cabang di negeri ini kekal utuh, istiqamah dan tidak berbelah bahagi dalam memberikan taat setia serta sokongan penuh kepada Presiden parti, YAB Dato Seri Anwar bin Ibrahim.
Keadilan Kelantan juga menegaskan bahawa tiada kedengaran mana-mana pimpinan cabang atau anggota jawatankuasa yang mengambil keputusan untuk menyertai Parti Bersama. Parti tersebut bukan pilihan kami dan tidak sesekali akan menggugat kesetiaan kami kepada perjuangan Parti Keadilan Rakyat.
Bagi kami, perjuangan reformasi yang dibawa KEADILAN sejak sekian lama bukan perjuangan bermusim dan bukan juga perjuangan yang boleh digadai hanya kerana perbezaan pandangan politik semasa. Kesetiaan kepada parti dan kepimpinan merupakan asas penting dalam memperkukuhkan perjuangan demi rakyat.
Di bawah kepimpinan Pengerusi Negeri, YBhg. Dato’ Seri Suparadi Hj Md Nor, Keadilan Kelantan kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkemaskan jentera parti di semua peringkat sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang.
Kami yakin dengan kesatuan saf kepimpinan, semangat perjuangan serta dokongan akar umbi yang terus kukuh, Keadilan Kelantan akan terus mara ke hadapan dalam usaha membawa perubahan dan seterusnya merealisasikan misi menawan Negeri Kelantan dengan keizinan Allah SWT.
“Setia kepada perjuangan, teguh bersama Presiden.”
Sekian, terima kasih.
RAHIM BIN HASAN
Setiausaha Negeri (SUN)
Parti Keadilan Rakyat Negeri Kelantan