July 24, 2026

KESATUAN RAKYAT UNTUK MASA DEPAN MALAYSIA

1. Semenjak tahun 1981, ramai menuduh Presiden PAS, Ustaz Hadi Awang, sebagai pemecahbelah kaum Muslimin, Melayu, dan rakyat Malaysia.

2. Pada tahun itu juga, Ustaz Hadi pula menuduh UMNO sebagai parti jahiliah.

3. Kebelakangkan ini, Presiden PAS seolah-olah melupakan sejarah dan berhasrat bergabung dengan UMNO kononnya untuk perpaduan ummah.

4. Namun begitu, ini bukan kali pertama usaha sedemikian dibuat untuk menghantui rakyat.

5. Sebelum ini, sekurang-kurangnya 3 episod pernah berlaku;

● tahun 1972 apabila PAS menyertai Barisan Nasional,

● tahun 2008 apabila Barisan Nasional hilang majoriti dua pertiga,

● dan tahun 2018 apabila Barisan Nasional kalah Pilihan Raya Umum buat kali pertama dalam sejarah politik Malaysia.

6. Ketiga-tiga detik percubaan ini gagal dengan begitu dasyhat dan akan gagal sekali lagi kerana tabiat yang ditampilkan oleh beberapa pihak parasit politik ini tiada prinsip, miskin maruah, tamak kuasa, dan bakal menghadapi gelagat pengkhianatan apabila nafsu politik tidak tercapai.

7. Kesemua 32 wakil rakyat Dewan Negeri Terengganu adalah daripada Perikatan Nasional. 44 daripada 45 wakil rakyat di Kelantan mewakili Perikatan Barisan Nasional. 33 daripada 36 wakil DUN Kedah datang daripada parti PN. Perlis pula hanya mempunyai 1 wakil pembangkang.

8. Kalau betul ‘penyatuan ummah’ boleh menyelesaikan semua masalah rakyat dan memajukan ekonomi, rakyat di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, dan Perlis sepatutnya sudah hidup jauh lebih selesa dan mempunyai pendapatan lebih tinggi berbanding penduduk di Tokyo, Dubai, dan Doha.

1/2

9. Johor dengan 10 Timbalan EXCO sepatutnya sudah menjadi Shenzhen Asia Tenggara.

10. Waima demikian, rakyat di negeri-negeri tersebut memilih untuk mencari peluang pekerjaan dan kehidupan selesa di negeri-negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.

11. Barisan Nasional perlu menyedari hakikat ini kerana tidak lama lagi mereka akan cuba ditelan oleh Perikatan Nasional. Tanda-tanda PN ingin mendominasi BN sudahpun ada dengan ungkapan Perikatan Barisan Nasional.

12. Sebaliknya, Pakatan Harapan telah membuktikan bahawa gabungan Perpaduan berasaskan kepercayaan merupakan koalisi berpandukan nilai, akhlak, serta tekad mengangkat martabat rakyat supaya ekonomi Malaysia berjaya.

13. Prestasi dan komitmen Pakatan Harapan bukan janji. Ini adalah bukti yang telah dinikmati oleh rakyat di Selangor, Pulau Pinang, di Negeri Sembilan, dan kini di peringkat Persekutuan.

14. Golongan susah diberikan bantuan kewangan bagi mengatasi kos sara hidup, Islam terus subur di samping agama lain diamalkan secara aman, generasi muda menerima peluang pendidikan serta pekerjaan berkualiti tinggi, keluarga menikmati rumah mampu milik, manakala warga emas disokong atas jasa kepada negeri dan negara.

15. Jika pihak lain yang ketandusan idea ingin menghantui rakyat dengan retorik politik ‘penyatuan ummah’, tekad Pakatan Harapan berlandaskan Kesatuan Rakyat selaras Prinsip Rukun Negara bagi masa depan Negeri Sembilan dan Malaysia yang makmur, harmoni, stabil, melalui pembangunan sebuah masyarakat yang yakin dan berwawasan.

DATO’ SERI AMIRUDIN SHARI

PENGARAH PILIHAN RAYA PAKATAN HARAPAN

24 JULAI 2026

Related Posts
crossmenuchevron-up