July 23, 2026

PAKATAN BN–PN GOYAH: KUASA DIDAHULUKAN, KEBAJIKAN RAKYAT BAKAL TERGADAI

Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menerusi pakatan tidak rasmi bersama Perikatan Nasional (PN), kononnya atas nama penyatuan bangsa, membuktikan kedua-dua gabungan tersebut semakin ketandusan tawaran substantif untuk meyakinkan pengundi.

Setelah gagal mempertikaikan rekod pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Aminuddin Harun atau Tok Min, BN dan PN kini kembali memainkan naratif politik lapuk yang bersifat sempit serta memecahbelahkan masyarakat.

Hakikatnya, kepimpinan Tok Min telah membuktikan keupayaan mengurus Negeri Sembilan secara stabil, memperkukuh ekonomi negeri dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.

Pakatan BN–PN juga tidak menawarkan kepastian mengenai siapa yang akan menerajui kerajaan sekiranya mereka menang. Perebutan jawatan Menteri Besar berisiko mencetuskan pertikaian dan pergolakan dalaman, sekali gus mengulangi episod ketidakstabilan politik yang akhirnya menjejaskan pentadbiran serta kehidupan rakyat.

Negeri Sembilan tidak boleh dijadikan medan percaturan kuasa antara pemimpin yang hanya bersatu demi kepentingan politik. Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ekonomi, peluang pekerjaan serta kebajikan mereka.

Justeru, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tok Min kekal sebagai pilihan terbaik. Sokongan kepada beliau bukan sahaja berasaskan rekod pentadbiran yang terbukti, tetapi juga menjadi isyarat tegas rakyat menolak politik retorik, percaturan kuasa dan tindakan BN yang telah menyebabkan PRN ini terpaksa diadakan.

NURHANANI DHAMIRAH RAZALEH
Pengarah Komunikasi
Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Related Posts
crossmenuchevron-up