Carian
January 6, 2022

Mukhriz Perlu Cermin Diri Sendiri Sebelum Kritik Anwar

Kenyataan terbaru yang dikeluarkan Presiden PEJUANG, Saudara Mukhriz Mahathir bahawa masa depan Anwar Ibrahim sudah berlalu dan Pakatan Harapan perlukan pemimpin baru adalah kenyataan bersifat jahat dan menunjukkan ketidakmatangan beliau selaku pemimpin politik masa depan negara.

Mungkin beliau terlupa bencana yang melanda negara hari ini dari berpuluh ribu nyawa yang terkorban akibat COVID-19 sehinggalah kepada kegagalan mengurus banjir akibat dari kelemahan urustadbir kerajaan pusat yang dua kali bertukar tangan berpunca dari ayahanda beliau yang mungkir janji kerana enggan melepaskan jawatan Perdana Menteri yang telah dijanjikan kepada Anwar Ibrahim.

Belajarlah menghargai toleransi yang telah ditunjukkan KEADILAN walaupun Pejuang bukanlah sebagai parti komponen Pakatan Harapan. Di Selangor misalnya Ahli Dewan Negeri Pejuang diberi peruntukan samarata dan bebas menjalankan program politik tanpa sebarang sekatan.

Mana mungkin ini berlaku kalau bukan hasil dari jiwa besar KEADILAN dibawah pimpinan Dato’ Menteri Besar Selangor, Saudara Amirudin Shari yang sudah pastinya mendapat restu dari Presiden tidak lain tidak bukan saudara Anwar Ibrahim yang Mukhriz keji dan hina seolah sudah tidak relevan di persada politik tanah air.

Hari ini apa jua yang Mukhriz nyatakan tidak akan mampu memadam lipatan sejarah beliau menang Pilihanraya Umum ke-14 dan menjadi Menteri Besar Kedah hasil dukungan jentera KEADILAN yang mengangkat idealisme serta perjuangan panjang saudara Anwar Ibrahim melawan kezaliman penguasa.

Tetapi bak kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Saudara Hassan Abdul Karim, sehebat-hebat Mukhriz anak bangsawan ini beliau tidak dapat melindungi fakta sejarah bahawa dua kali dijatuhkan sebagai Menteri Besar Kedah di pertengahan jalan.

Mahathir Mohamad sendiri pernah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke 7 kerana ihsan dan atas dasar menepati janji oleh pimpinan KEADILAN yang akhirnya boleh diibaratkan seperti melepaskan anjing tersepit apabila Mahathir berlelakuan seperti kacang lupakan kulit dan disokong oleh Muhkriz sendiri.

Ada baiknya Saudara Mukhriz muhasabah diri di Tahun Baru 2022 ini dan mengelakkan dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang akhirnya memperlekehkan diri sendiri. Tidak semua ahli politik beruntung lahir dalam keluarga bangsawan seperti beliau namun berhentilah menghina perjuangan dan pengorbanan Saudara Anwar Ibrahim mengangkat nasib dan maruah golongan rakyat marhaen.

Kalau tidak mampu memahami, sekurang-kurangnya belajar menghormati dan cermin diri. Jangan terlalu gembira bermain api takut nanti terbakar diri sendiri.

Halimey Abu Bakar
Ketua Penerangan
Parti KEADILAN Rakyat Negeri Selangor

Related Posts
crossmenuchevron-up