Carian
June 20, 2021

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin Silap Perhitungan

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah seorang ahli parlimen biasa. Beliau menang di kerusi Pagoh, iaitu satu daripada 222 kerusi parlimen seluruh negara. Secara nisbah, kekuatannya hanyalah 1/222.

Kekuatan Muhyiddin tidaklah sekuat Jokowi atau Joe Biden. Presiden Indonesia atau Presiden Amerika Syarikat itu dipilih oleh seluruh rakyat mereka. Muhyiddin dipilih oleh pengundi di Pagoh sahaja.

Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen manakala Indonesia atau Amerika Syarikat mengamalkan sistem republik. Di Indonesia atau di Amerika Syarikat tidak ada institusi raja.

Kuasa politik Perdana Menteri Malaysia jadi kuat hanyalah kerana wujud Parlimen. Yang di-Pertuan Agong melantik YB Pagoh sebagai Perdana Menteri kerana pada hemat baginda Muhyiddin mungkin mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat (Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan).

Ertinya, kekuatan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersumber dari sokongan ahli parlimen, walaupun sokongan itu secara rasminya tidak pernah diuji di Parlimen.
Kedudukan Perdana Menteri yang sah sokongan majoriti lebih terjamin jika Parlimen berfungsi sepenuhnya.Hanya Perdana Menteri yang tidak yakin sokongan sebenar kepadanya yang takut pada Parlimen.

Parlimen yang digantung, ditangguh atau diprorog seperti sekarang ini menjadikan kedudukan Perdana Menteri lemah dari segi kuasa eksekutif dan perundangan.

Apabila darurat berkuatkuasa dan parlimen digantung sejak 11 Januari 2021 lalu, maka kuasa eksekutif (Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan) dan kuasa perundangan (Perkara 44 Perlembagaan Persekutuan) telah tertumpu ke tangan Yang di-Pertuan Agong. Sebaliknya, kuasa eksekutif dan kuasa perundangan Perdana Menteri telah berkurangan.

Sumber kuasa seorang Perdana Menteri dan Jemaah Kabinet sebenarnya datang dari dua punca. Pertama datang dari kuasa rakyat melalui pilihanraya. Kedua, dari Yang di-Pertuan Agong (Perkara 43(1) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan).

Tetapi, apabila Parlimen digantung, maka sumber kuasa rakyat yang menjadi teras demokrasi berparlimen itu turut digantung sama. Yang kekal berkuasa dalam kekosongan itu ialah institusi raja berperlembagaan. Ini meletakkan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerajaan awam ketika ini umpama seekor itek tempang.
Lihatlah dan bacalah apa yang terkandung di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Yang disebut berkuasa eksekutif dan perundangan hanyalah Yang di-Pertuan Agong, bukan Perdana Menteri yang mewakili kerajaan awam.

Sebenarnya, Yang di-Pertuan Agong tidak merampas kuasa dari Kerajaan awam. Sebaliknya Perdana Menteri yang lemah dan gagal yang memimpin sebuah kerajaan awam yang juga lemah dan gagal yang sebenarnya telah menyerahkan kuasa rakyat kepada institusi raja berperlembagaan.

Di sinilah kesalahan besar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap rakyat Malaysia. Muhyiddin telah gagal mempertahankan mandat, kuasa dan kedaulatan rakyat yang telah keluar beramai-ramai mengundi dalam Pilihanraya Umum pada 9 haribulan Mei tahun 2018.

Rakyat mengundi dalam PRU-14 itu dengan penuh semangat dan keazaman untuk menubuhkan sebuah kerajaan rakyat bukannya sebuah kerajaan darurat yang gagal.

Oleh hal yang demikian, satu jalan keluar untuk memulihkan semula kuasa sebuah kerajaan awam di Malaysia sekarang ini ialah dengan pembukaan semula Parlimen.

Penghargaan patut diberi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang sepakat mahukan Parlimen dibuka dan Darurat ditamatkan pada 1 Ogos depan. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu nampaknya lebih arif dan faham apa itu konsep asas negara iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

Sepatutnya Perdana Menteri yang bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya dibuka semula Parlimen. Tanggungjawab Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong dinyatakan di bawah Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Tetapi keadaan sudah terbalik. Pada 16 haribulan Jun lepas, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja pula yang menasihati Perdana Menteri secara berhemah agar Parlimen dibuka dan Darurat ditamatkan pada 1 Ogos nanti.

Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan alasan oleh Muhyiddin untuk menolak kehendak Yang di-Pertuan Agong. Dalam keadaan biasa Perkara 40(1) itu dalam banyak perkara memang terpakai, kecuali hal-hal tertentu dalam kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 40(2)(a),(b),dan (c).

Tetapi dalam Keadaan Darurat sekarang kuasa Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong hampir terhakis sama sekali. Bukan salah siapa, tetapi silap perhitungan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri.

Jika dibaca bersama-sama Section 14(1) dan Section 15(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, kuasa memanggil Parlimen dibuka semula terletak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Jika Muhyiddin atau Jemaah Menterinya ingin berhujah bahawa tafsiran sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, maka silalah rujuk Perkara 150 (6) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan tiada peruntukan mana-mana Ordinan yang diluluskan semasa Proklamasi Darurat berkuatkuasa boleh menjadi tidak sah atas alasan bercanggah dengan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, untuk mengelakkan berlakunya krisis perlembagaan antara Perdana Menteri dengan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu, maka ada moleknya pada awal pagi Rabu depan, 23 haribulan Jun ini, ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin lazimnya mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan Jemaah Kabinet agar Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memanggil sidang Parlimen dibuka secepat mungkin. Bukannya pada bulan September seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang

Related Posts
crossmenuchevron-up